KUALA LUMPUR 21 Ogos - Prestasi CelcomDigi Bhd pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) melebihi jangkaan MIDF Research dan konsensus, masing-masing membentuk 62% dan 64% daripada anggaran pendapatan setahun penuh FY23.
Oleh itu, firma penyelidikan itu berkata ia menyemak naik unjuran pendapatan CelcomDigi bagi tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) kepada antara RM2 bilion dan RM2.8 bilion, bagi mengambil kira kesan ke atas susut nilai yang dipercepatkan.
“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM4.97 selepas pengumuman keputusan 2QFY23,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini, sambil menambah ia menjangkakan prestasi masa depan kumpulan tidak akan berhenti dengan potensi peningkatan yang didorong oleh sinergi perolehan.
Pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), firma itu berkata kumpulan itu memiliki prestasi yang konsisten dengan pendapatan pulih dengan meningkat 8.1% suku ke suku kepada RM523 juta disebabkan struktur kos yang lebih baik.
BACA JUGA: Untung bersih CelcomDigi RM343.52 juta Q2FY2023, isytihar dividen 3.2 sen sesaham berjumlah RM375 juta
Menurut MIDF Research, perbelanjaan modal (capex) CelcomDigi dijangka dipergiatkan dalam separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23).
Jelasnya, capex kumpulan itu meningkat 133.3% suku ke suku kepada RM252 juta pada 2QFY23, disebabkan terutamanya oleh pelaburan berterusan dalam inisiatif menaik taraf kapasiti rangkaian dan teknologi maklumat (IT).
“Seiring dengan peningkatan aktiviti penyepaduan, capex bagi 2HFY23 sepatutnya meningkat pada kadar yang lebih pantas,” katanya.
Di samping itu, firma itu berkata pembayaran dividen yang lebih tinggi membuktikan keupayaan penjanaan tunai kumpulan tersebut.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen 2QFY23 sebanyak 3.2 sen yang diterjemahkan kepada nisbah pembayaran sebanyak 109% yang melebihi polisi dividen mereka sekurang-kurangnya 80% daripada keuntungan bersih, dibiayai oleh aliran tunai bebas yang sihat.
Firma itu berkata aliran tunai bebas bertambah baik sebanyak 57.2% suku ke suku kepada RM1.1 bilion, disokong oleh inisiatif modal kerja. - DagangNews.com








