PM Anwar: Kerajaan perlu kurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum perkenal semula GST | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar: Kerajaan perlu kurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum perkenal semula GST

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyertai sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia Milken Institute 2023 di Singapura, pada 13 September 2023. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 13 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

 

Semasa temu bual bersama Haslinda Amin daripada Bloomberg di Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute, Anwar mengakui bahawa GST adalah sistem cukai yang paling cekap dan telus.

 

"Bila kita laksanakannya? Ia bergantung pada ambang. Apabila rakyat hidup dalam kemiskinan yang teruk, anda perlu memperkenalkan dasar cukai progresif, tetapi bukan dasar asas meluas yang memberi kesan kepada golongan sangat miskin.

 

"Jadi, anda perlu beri sedikit masa, namun adakah anda langsung tidak melakukan apa-apa? Tidak. Anda perlu meluaskan asas cukai, sudah tentunya. Tetapi anda perlu terlebih dahulu mengurangkan subsidi kepada orang kaya," katanya, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, rasionalisasi subsidi tidak akan menjadi keputusan popular tetapi kerajaan ada masa empat tahun sebelum pilihan raya akan datang. - DagangNews.com