KUALA LUMPUR 27 Okt - Plytec Holding Berhad telah memperoleh kontrak untuk membantu transformasi digital Sarawak kepada bandar pintar.
Syarikat penyedia rumusan dan perkhidmatan kejuruteraan pembinaan itu berkata kontrak tersebut diterima oleh anak syarikatnya, BIM Engineering Solution & Technology Sdn Bhd (BEST) daripada PPES Consults Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
SEDC merupakan agensi kerajaan Sarawak bermatlamat memupuk dan memudahkan pembangunan ekonomi dalam negeri, merangkumi pelbagai sektor dan inisiatif.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Plytec berkata kontrak 42 bulan itu melibatkan penubuhan ekosistem digital di Sarawak, dipacu oleh teknologi pemodelan maklumat bangunan (BIM), bagi memudahkan transformasi digital negeri tersebut.
Perkhidmatan yang akan disediakan oleh BEST termasuk penyeragaman sistem pengurusan maklumat, penyediaan bantuan pelaksanaan projek, latihan, dan pembinaan kapasiti bagi membangunkan proses yang berteraskan konsep kembar digital untuk aset terbina.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Plytec, Yang Kian Lock berkata kontrak berkenaan adalah selaras dengan matlamat kumpulan untuk mengembangkan segmen penyelesaian reka bentuk digital dan kejuruteraan (DDE).
Ia akan memanfaatkan pengalaman dan keupayaan Plytec dalam BIM untuk membantu transformasi Sarawak menjadi bandar pintar.
“Ini akan mewujudkan persekitaran bandar lebih mudah didiami, mampan dan cekap yang memberi manfaat kepada penduduk, perniagaan dan alam sekitar.
“Dipilih oleh SEDC untuk menyampaikan pengetahuan BIM kami dalam membina ekosistem digital adalah satu penghormatan dan satu bukti kepimpinan kami dalam penyelesaian BIM dan DDE,” kata Kian Lock.- DagangNews.com








