IPOH 7 Jun - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menghargai peranan yang dimainkan oleh media massa dalam membantu agensi terbabit dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Ini termasuklah petugas media di negeri-negeri atau biro yang mana mereka sama-sama membantu PERKESO menyiarkan pelbagai liputan di lokaliti masing-masing.
Ketua Pegawai Komunikasi Dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely berkata, justeru pihaknya berharap hubungan baik sedia ada ini terus diperkukuhkan.
Menurut beliau, untuk itu pihaknya mengambil pendekatan turun padang menyantuni rakan-rakan media di negeri-negeri walaupun sebahagian besarnya telah dikenali.

“Di Perak misalnya PERKESO negeri sentiasa mendapat kerjasama yang baik daripada pihak media apabila laporan mengenai aktiviti diberi liputan.
“Liputan yang diberi membolehkan masyarakat tahu tentang PERKESO khususnya bantuan yang diberikan kepada para pencarum.
“Lihat urus antara PERKESO dan media penting dalam membela kebajikan golongan pekerja yang merupakan pencarum PERKESO,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyantuni petugas media pada Majlis Apresiasi Pengamal Media Negeri Perak bersama PERKESO di Galasa Caldwell di sini.


Hadir sama ialah Pengarah PERKESO negeri Perak, V. Mohanadas dan Ketua Komunikasi Penjenamaan PERKESO, Dato' Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Majlis disertai wakil-wakil 23 buah agensi media di Perak termasuk Dagang News.
Tambah Roshaimi, PERKESO juga banyak mengendalikan kes-kes melibatkan petugas media yang ditimpa musibah semasa bekerja.
Justeru, beliau menyarankan kepada petugas media seperti wartawan sambilan atau stringer di negeri-negeri supaya mencarum di dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
“SKSPS menyediakan perlindungan bencana pekerjaan semasa bekerja, ini tidak terkecuali kepada wartawan sambilan.
“Ketika ini kerajaan membiayai 90% daripada jumlah caruman, jadi jangan lepaskan peluang ini demi kebaikan rakan-rakan media,” ujarnya. - DagangNews.com








