KUALA LUMPUR 8 Ogos - Perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Jun 2024 mencatatkan nilai jualan bulanan RM146 bilion, meningkat 5.4% berbanding bulan sama tahun lalu.
Jumlah ini bagaimanapun lebih rendah berbanding Mei 2024 yang mencatatkan jualan perdagangan borong dan runcit bulanan berjumlah RM147.9 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata, peningkatan sebanyak 5.4% tahun ke tahun (YoY) bagi Perdagangan borong & runcit pada Jun 2024 dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 7.9% kepada RM64.1 bilion.
Katanya, perdagangan borong juga bertumbuh 4.0% untuk mencatatkan RM64.9 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 2.0% untuk mencapai RM17 bilion.
"Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong & runcit turun -1.3% berbanding bulan sebelumnya, disebabkan oleh kenderaan bermotor yang menurun -9.4%,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 7.1% kepada RM147.9 bilion pada Mei 2024- DOSM
Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Ketua Perangkawan memaklumkan, pertumbuhan 7.9% tahun ke tahun bagi Perdagangan runcit disumbangkan oleh Jualan runcit di kedai pengkhususan yang tumbuh 12.6% untuk mencapai RM13.5 bilion.
Dr Mohd Uzir berkata, kumpulan lain dalam subsektor ini yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ini adalah Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (8.8%), Jualan runcit makanan, minuman & tembakau (8.7%) dan Jualan runcit barangan isi rumah (7.3%).
"Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini naik 0.2 peratus, disokong oleh Jualan runcit di kedai pengkhususan (1.2%), Jualan runcit barangan isi rumah (1.4%) dan Jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (1.3%),” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai subsektor Perdagangan borong, kenaikan 4.0% tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh Jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup yang meningkat 7.9% kepada RM5.9 bilion.
Katanya, ini diikuti oleh Jualan borong makanan, minuman & tembakau (6.7%), Perdagangan borong tanpa pengkhususan (6.2%) dan Jualan borong barangan isi rumah (5.6%).
"Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, Perdagangan borong jatuh -0.3 peratus, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam Jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (-3.0%), Jualan borong makanan, minuman & tembakau (-0.3%) dan Jualan borong barangan isi rumah (-0.2%)," ujarnya.
Dr. Mohd Uzir berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.0% bagi subsektor Kenderaan bermotor pada Jun dipacu oleh Penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor dan Jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor, masing-masing melonjak 10.0% dan 9.2%.
Walau bagaimanapun, katanya, jualan kenderaan bermotor menurun -3.4 peratus pada bulan ini. Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menyusut -9.4 peratus, disumbangkan oleh penguncupan dalam semua kumpulan terutamanya Jualan kenderaan bermotor (-17.2%).
Mengulas lanjut berkenaan prestasi suku tahunan, peningkatan 6.4% pada suku tahun kedua bagi Perdagangan borong & runcit didorong oleh subsektor Perdagangan runcit yang meningkat 7.4% kepada RM191.8 bilion.
Kata beliau ini diikuti Perdagangan borong yang tumbuh 4.5% untuk mencatatkan RM193.8 bilion manakala subsektor Kenderaan bermotor juga merekodkan pertumbuhan positif dengan 9.9% untuk mencapai RM53.1 bilion pada suku tahun ini.
"Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, sektor ini naik 2.2%. Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini bertumbuh 4.8% tahun ke tahun pada Jun 2024 berbanding 5.2% pada Mei 2024.
"Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menokok 0.5% berbanding bulan sebelum. Dari segi indeks volum, Perdagangan borong & runcit pada Jun 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5%.
"Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu Perdagangan runcit (6.3%), Perdagangan borong (3.2%) dan Kenderaan bermotor (1.2%). Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh -0.8 peratus bulan ke bulan," katanya. - DagangNews.com