Pendapatan VS Industry dijangka merosot pada FY24 ekoran tempahan berkurang – Affin Hwang  | DagangNews Skip to main content

Pendapatan VS Industry dijangka merosot pada FY24 ekoran tempahan berkurang – Affin Hwang 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Affin Hwang Investment Bank menjangkakan VS Industry Bhd mengalami kemerosotan keseluruhan pendapatan pada tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 (FY24).

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih teras pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik bersepadu (EMS) itu bagi suku kedua adalah antara pendapatan paling lemahnya yang jatuh 69% tahun ke tahun (YoY) kepada RM10 juta.

 

Ini disebabkan oleh tempahan lebih rendah daripada pelanggan utama, yang menjejas keseluruhan kadar penggunaan kapasiti pengeluarannya.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih teras VS Industry mencecah RM59 juta untuk separuh pertama FY24, mewakili penurunan 34% YoY.

 

"Meskipun tempahan daripada pelanggan utamanya perlahan, kumpulan itu memberi gambaran bahawa mungkin terdapat beberapa kelegaan pada masa hadapan, disokong oleh normalisasi tahap inventori dan penambahbaikan sentimen pengguna, serta model baharu daripada pelanggan tertentu.

 

"Namun begitu, walaupun pemulihan pada asas separuh kedua FY24 mungkin besar daripada separuh pertama, kami masih ragu-ragu tentang peningkatan pendapatan tahun ke tahun dan percaya bahawa FY24 masih akan mengalami kemerosotan keseluruhan pendapatan.

 

"Bagi mengatasinya, kumpulan itu telah meningkatkan keupayaan dalamannya dan sedang berusaha untuk meluaskan pangkalan pelanggannya," ulas firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Affin Hwang, laporan kewangan VS Industry secara amnya dalam jangkaan dengan mencapai 36% dan 33% daripada ramalan pendapatan setahun penuh firma dan konsensus.

 

"Melainkan dan sehingga kumpulan itu dapat menyelesaikan ketidakpastian terhadap pesanannya, kami tidak melihat sebarang pemangkin penarafan semula serta-merta buat masa ini," katanya.

 

Firma tersebut mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) 71 sen sesaham.

 

Pada pukul 11:04 pagi ini, saham VS Industry kekal pada 83.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM3.24 bilion. - DagangNews.com