KUALA LUMPUR 22 Ogos - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) percaya pendapatan hiliran SD Guthrie Berhad mungkin akan merosot pada separuh kedua FY24 (2HFY24) disebabkan oleh harga jualan yang lebih rendah dan persaingan dari Indonesia.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun pendapatan SD Guthrie pada 1HFY24 melebihi anggaran namun taraf saranan kumpulan itu dikekalkan pada 'Pegang' dengan nilai wajar tidak berubah pada RM4.55 sesaham.
"Secara tahunan, keuntungan bersih teras SD Guthrie sebanyak RM653 juta untuk 1HFY24 adalah 20% melebihi ramalan kami tetapi 7% di bawah jangkaan konsensus.
"SD Guthrie melebihi jangkaan kami disebabkan oleh keuntungan hiliran yang lebih kuat daripada yang dijangkakan. Kami telah menaikkan keuntungan bersih FY24 SD Guthrie sebanyak 20% untuk mengambil kira perkara ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: SD Guthrie raih untung RM415 juta 2QFY24, naik 9% disumbangkan segmen huluan dan hiliran
AmInvestment berkata, keuntungan bersih teras SDG melonjak kepada RM653 juta pada 1HFY24 berbanding RM449 juta pada 1HFY23 berikutan pemulihan dalam pengeluaran buah tandan segar (BTS) di Malaysia dan keuntungan hiliran yang lebih tinggi.
"Pengeluaran BTS SD Guthrie meningkat sebanyak 8.2% tahun ke tahun pada 1HFY24. Di Malaysia, pengeluaran BTS berkembang sebanyak 35%, tetapi di Indonesia, BTS merosot sebanyak 17%. Hasil BTS di Papua New Guinea pula menurun sebanyak 6%.
"Harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang diperoleh adalah RM3,961 setiap tan pada 1HFY24 berbanding RM3,824/tan pada 1HFY23," jelasnya.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan dalam hasil BTS di Malaysia disokong oleh tenaga kerja yang lebih produktif.
Menurut AmInvestment, SD Guthrie mengambil masa 3 hingga 6 bulan untuk melatih pemetik baru tahun lalu.
Katanya, hasil BTS SD Guthrie di Indonesia terjejas oleh kesan tertunda El Nino pada 3Q2023, manakala di Papua News Guinea, SD Guthrie terjejas oleh banjir pada 1QFY24.
"Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) ladang SDG didorong terutamanya oleh Malaysia. Bahagian huluan Malaysia beralih daripada kerugian RM46 juta pada 1HFY23 kepada keuntungan RM324 juta pada 1HFY24.
"Walau bagaimanapun, huluan Indonesia merosot sebanyak 28.7% kepada RM191 juta manakala huluan PNG menurun sebanyak 6.5% kepada RM174 juta.
"EBIT hiliran (produk pukal, produk berbeza dan perdagangan) melonjak sebanyak 90.8% tahun ke tahun kepada RM351 juta pada 1HFY24 berikutan peningkatan jumlah jualan dan margin pemprosesan di Eropah dan Asia Pasifik. Margin EBIT meningkat kepada 4.2% pada 1HFY24 daripada 2.5% pada 1HFY23," ujarnya. - DagangNews.com








