Pelabur asing beli RM292.2 juta ekuiti tempatan minggu lalu - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM292.2 juta ekuiti tempatan minggu lalu - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Pelabur asing mengakhiri jualan bersih buat minggu kelapan berturut-turut dengan beralih menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia sebanyak RM292.2 juta pada minggu lalu.

 

Bank Dunia mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini sebanyak 4.3% dan mengakui terdapat potensi peningkatan didorong kenaikan harga minyak akibat konflik berterusan di Asia Barat.

 

Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka didorong oleh penggunaan swasta.

 

 

"Pelabur asing telah membeli sektor seperti utiliti (RM285.8 juta), perkhidmatan kewangan (RM105.3 juta) dan telekomunikasi & media (RM100.3 juta).

 

"Sektor yang menyaksikan jualan bersih paling kukuh ialah produk & perkhidmatan pengguna sebanyak RM223.2 juta, perladangan (-RM68.5 juta) dan tenaga (-RM31.6 juta)," kata firma penyelidikan itu dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan meneruskan trend belian bersih mereka untuk minggu kesembilan berturut-turut, dengan pembelian bersih berjumlah RM143.3 juta.

 

Peruncit tempatan mengekalkan jualan bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut, berjumlah RM435.5 juta.

 

Dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) merosot bagi pelabur runcit dan asing masing-masing sebanyak 10.9% dan 15.5%. 

 

Bagaimanapun, institusi tempatan mencatat sedikit peningkatan sebanyak 0.2%. - DagangNews.com