Menua Tanpa Anak, Siapa Tempat Bergantung Warga Emas? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Menua Tanpa Anak, Siapa Tempat Bergantung Warga Emas?

Oleh Dr. Ellie Chee Shi Yin

Malaysia kini sedang memasuki satu fasa perubahan demografi yang wajar diberi perhatian secara serius. Pada pertengahan Oktober 2025, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan satu trend jangka panjang yang telah berkembang sejak bertahun-tahun lalu.

 

Negara merekodkan sebanyak 414,918 kelahiran baharu pada 2024, iaitu jumlah paling rendah sejak 1980, sekali gus mencatatkan penurunan 9.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam tempoh sama, kadar kesuburan keseluruhan turut merosot daripada 1.7 kepada 1.6 anak bagi setiap wanita berumur antara 15 hingga 49 tahun.

 

Perubahan ini berlaku seiring dengan satu titik peralihan generasi. Generasi X (lahir antara 1965 hingga 1980) kini mula memasuki usia 60-an, setelah melalui kehidupan dalam era apabila saiz keluarga semakin mengecil.

 

Berbeza dengan Generasi Senyap (Silent Generation) yang lahir antara 1928 hingga 1945 dan sebahagian besar Baby Boomers (1946–1964), yang kebanyakannya meniti usia tua dalam lingkungan keluarga besar dengan kehadiran anak-anak dewasa sebagai sistem sokongan utama.

 

Perbezaan ini kini semakin jelas mempengaruhi cara masyarakat merancang kehidupan pertengahan usia dan hari tua, manakala generasi lebih muda bakal melalui perubahan yang sama.


 

 Dr. Ellie Chee Shi Yin
Dr. Ellie Chee Shi Yin

 

Realiti keluarga semakin kecil

Data ini penting kerana bilangan rakyat Malaysia yang memasuki usia tua tanpa mempunyai anak dijangka terus meningkat.

 

Keadaan ini akan memberi kesan terhadap pilihan tempat tinggal, pengaturan penjagaan serta jangkaan masyarakat mengenai sokongan kepada warga emas, namun implikasinya masih belum diberi perhatian secukupnya.

 

Corak kehidupan berkeluarga juga telah berubah. Isi rumah yang lebih kecil kini menjadi kebiasaan, manakala semakin ramai individu memasuki usia tua tanpa anak.

 

Realiti ini mula terserlah dalam pelbagai situasi harian apabila warga emas mendapatkan bantuan, nasihat atau sokongan praktikal, sekali gus memperlihatkan jurang antara realiti kehidupan dengan andaian lama yang masih digunakan.

 

Isu yang lebih mendalam ialah sistem sokongan warga emas masih banyak dibina berasaskan andaian bahawa keluarga akan sentiasa memainkan peranan utama.

 

Apabila sistem terus berpaksikan penyertaan ahli keluarga sebagai rujukan utama, ia menjadi kurang sesuai untuk memenuhi keperluan individu yang melalui laluan kehidupan berbeza.

 

Apabila sistem masih bergantung kepada keluarga

Akibatnya, tanggungjawab tersebut akhirnya dipikul oleh institusi, penyedia perkhidmatan dan organisasi komuniti, kebanyakannya melalui penyesuaian tidak formal tanpa perancangan yang benar-benar menyeluruh.

 

Kesedaran ini memberi kesan mendalam kepada saya ketika menjalankan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Urban Studies, yang meneliti bagaimana Baby Boomers yang tidak mempunyai anak menyesuaikan diri di pusat kediaman warga emas yang pada asasnya masih direka berdasarkan model keluarga tradisional.

 

Apabila seorang peserta menggunakan istilah "oldphans", ia serta-merta mengingatkan saya kepada perkataan orphans (anak yatim).

 

Istilah itu terus melekat dalam fikiran kerana ia menggambarkan satu realiti yang sering tidak disedari: menjalani usia tua tanpa "jaring keselamatan" berupa anak-anak dewasa dalam sebuah sistem yang masih menganggap mereka sentiasa wujud.

 

Mungkin sudah tiba masanya kita merenung satu hakikat yang lebih sederhana tentang kehidupan dewasa.

 

Setiap individu melalui perjalanan hidup dengan harapan dan perancangan yang berbeza.

 

Ada yang mengimpikan zuriat, namun kehidupan membawa mereka ke arah lain. Ada pula yang sememangnya memilih jalan hidup tanpa anak.

 

Laluan kehidupan yang berbeza

Semua keadaan ini dipengaruhi oleh faktor kesihatan, hubungan, masa dan pelbagai keadaan kehidupan.

 

Ia merupakan sebahagian daripada perjalanan hidup yang normal, sebagaimana laluan lain menuju usia tua.

 

Mereka yang menghampiri usia emas tanpa anak tetap merupakan anggota masyarakat yang aktif.

 

Mereka membuat perancangan teliti, mengekalkan hubungan sosial serta terus menyumbang kepada masyarakat dalam pelbagai cara.

 

Namun begitu, banyak struktur institusi masih sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan yang tidak bergantung kepada sokongan anak-anak.

 

Isu berkaitan akses kepada penjagaan, perkongsian tanggungjawab dan proses membuat keputusan menjadi lebih rumit apabila penglibatan keluarga bukan lagi asas utama.

 

Andaian lama perlu dinilai semula

Di Malaysia, banyak pengaturan berkaitan penuaan masih menganggap kehadiran anak-anak dewasa sebagai sesuatu yang pasti.

 

Andaian ini muncul dalam pelbagai urusan harian. Borang permohonan meminta maklumat waris. Perbincangan lazimnya beralih kepada anak lelaki atau anak perempuan.

 

Pelbagai prosedur pula dibina berdasarkan gambaran keluarga tradisional yang dipengaruhi pengalaman generasi terdahulu.

 

Namun apabila saiz keluarga semakin mengecil, jangkaan seperti ini memberi kesan yang lebih besar kepada mereka yang hidup di luar kerangka tersebut.

 

Di sinilah persoalan matematik penjagaan berubah menjadi realiti kemanusiaan.

 

Tekanan ini sudah pun kelihatan dalam sistem penjagaan apabila jurang antara jumlah warga emas dengan bilangan penjaga yang tersedia semakin melebar.

 

Membina sistem penjagaan yang lebih inklusif

Bagaimana jika seorang penjaga hanya mampu memberikan perhatian berkualiti kepada sejumlah kecil individu pada satu-satu masa?

 

Sekiranya jurang ini terus membesar, penjagaan berisiko menjadi semakin bersifat prosedural dan kurang responsif, walaupun semua pihak mempunyai niat yang terbaik.

 

Sama ada mempunyai anak atau tidak, setiap warga emas tetap merupakan sebahagian daripada masyarakat dan berhak menikmati sistem yang mengambil kira realiti kehidupan mereka.

 

Persoalannya, adakah kita benar-benar tidak bersedia, atau sebenarnya kita sudah memiliki kekuatan yang boleh dimanfaatkan?

 

Institusi keluarga masih kekal sebagai teras penting dalam kehidupan ramai rakyat Malaysia, berasaskan tradisi panjang saling menjaga dan memikul tanggungjawab.

 

Apa yang diperlukan kini ialah sistem dan tadbir urus yang lebih anjal, supaya tradisi tersebut dapat bergerak seiring dengan perubahan corak kehidupan masyarakat.

 

Jika bilangan individu yang menua tanpa anak terus meningkat, adakah sistem yang kita miliki hari ini benar-benar bersedia menghadapinya? - DagangNews.com

 

Dr. Ellie Chee Shi Yin merupakan ahli Active Ageing Impact Lab di Taylor's University serta Pensyarah Kanan di School of Hospitality, Tourism and Events.