Majlis Media Malaysia: Mengangkat Kredibiliti atau Sekat Kebebasan? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majlis Media Malaysia: Mengangkat Kredibiliti atau Sekat Kebebasan?

Oleh Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin

Bayangkan kita berada di dunia di mana setiap butiran maklumat yang sampai kepada anda telah disaring dan dikawal.

 

Ketika itu, media massa tidak lagi mampu memainkan peranannya sebagai agen pengimbang sebagaimana yang diperkatakan dalam konsep “separation of power”.

 

Apakah situasi ini bakal menjadi kenyataan dengan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia?

 

RUU ini, yang bertujuan untuk menubuhkan sebuah badan pengawalseliaan bagi mengangkat etika dan integriti kewartawanan di negara kita telah mencetuskan pelbagai reaksi.

 

Adakah aspek kualiti dan kredibiliti media dapat dipertingkatkan atau adakah ia bagi menutup padi dalam kepuk, iaitu sekadar menyembunyikan kebenaran daripada khalayak?

 

Mengapa RUU Majlis Media Malaysia Diperkenalkan?

Idea yang menjurus kepada penubuhan Majlis Media atau Majlis Akhbar telah mula disuarakan sejak Perdana Menteri yang Kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein. Ia bukanlah satu perkara yang baharu dan sehingga kini telah melewati hampir lima dekad perbincangan berkaitan dengannya.

 

Akhir-akhir ini perdebatan mahupun perbincangan yang melibatkan Majlis Media kembali hangat sebagai respons kepada kebimbangan awam mengenai penyebaran berita palsu dan maklumat yang tidak tepat.

 

Dengan kewujudan platform digital yang mudah diakses oleh orang ramai, banyak pihak berasa bahawa wujudnya keperluan untuk satu badan yang mampu mengawal selia kredibiliti dan keesahan kandungan media.

 

Sebagai contoh, menurut Indeks Kebebasan Media Dunia yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders, kedudukan Malaysia berada di tangga ke-73 pada tahun 2023.

 

Walaupun kedudukan ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam memastikan setiap berita yang disampaikan adalah tepat dan berkualiti.

 

Inilah tujuan utama RUU ini diperkenalkan, untuk melindungi masyarakat daripada berita palsu dan memperkasakan etika media.

 

Namun, adakah wajar bagi sebuah badan untuk mengawal selia kebebasan media yang sepatutnya berfungsi sebagai cerminan masyarakat? Bagaimana pula jika RUU ini menjadi alat kawalan pihak tertentu untuk mengawal arus maklumat kepada orang ramai?

 

Meningkatkan Kredibiliti Media atau Sekadar Sandiwara?

Penyokong RUU ini berpendapat bahawa sebuah majlis media boleh menjadi titik tolak kepada amalan media yang lebih beretika.

 

Dengan piawaian tertentu, wartawan akan lebih bertanggungjawab dalam melaporkan berita. Negara-negara seperti Australia, Kanada dan United Kingdom sudah lama mempunyai majlis media yang berperanan memantau integriti kewartawanan. Hasilnya, media di negara-negara tersebut lebih dihormati dan dipercayai.

 

Penerima Anugerah Kajai 2022 merangkap Penolong Pengarang Berita Harian Metro, Yusmizal Dolah Aling, menyifatkan majlis media ini boleh membantu media tempatan menjadi lebih telus dan berwibawa.

 

“Kita mahu rakyat mempercayai apa yang dibaca, bukan sekadar menerima maklumat kosong tanpa fakta.” Pendapat ini mencerminkan keperluan untuk memastikan wartawan mematuhi kod etika tertentu agar mereka dapat melaporkan berita dengan tepat dan tidak memutarbelitkan fakta sehingga boleh mengelirukan pembaca.

 

Namun, ibarat kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, cadangan untuk mengawal selia media juga memerlukan pendekatan yang berhati-hati.

 

Kritikan yang paling lantang adalah bahawa RUU ini berpotensi menjadi penghalang kepada kebebasan akhbar dan hanya menjadikan media sekadar alat propaganda yang hanya mengeluarkan kenyataan yang sesuai dengan agenda tertentu.

 

Bimbang Pengawalan Berlebihan

Pengkritik kepada RUU ini pula mula menyatakan kebimbangan mereka terhadap isu cengkaman atau kawalan berlebihan yang mungkin berlaku jika majlis media ini menjadi alat politik.

 

Malaysia mempunyai sejarah lampau di mana akhbar dan media dikawal ketat oleh kerajaan, terutamanya melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang menuntut permit penerbitan dikeluarkan setiap tahun.

 

Biarpun undang-undang tersebut telah dilonggarkan, kawalan ketat pada masa lalu telah menyebabkan ramai wartawan telah bersikap lebih berhati-hati dan berwaspada, bahkan ada yang ragu-ragu untuk mengupas isu-isu kontroversi.

 

RUU Majlis Media Malaysia ini mungkin mengundang kebimbangan bahawa media akan terikat dan dikekang dalam melaporkan isu-isu sensitif seperti politik, rasuah dan hak asasi manusia.

 

Kritikan ini bukan datang tanpa asas, sebagai contoh pelaksanaan undang-undang kawalan media di negara-negara seperti China dan Arab Saudi telah menimbulkan kegusaran yang serupa.

 

Di negara-negara ini, kebebasan media dikawal ketat oleh kerajaan dan hanya laporan yang memihak kepada pemerintah sahaja dibenarkan.

 

Di Malaysia, kebimbangan yang sama timbul, dengan ramai yang beranggapan RUU ini umpama pisau bermata dua, niatnya mungkin baik, tetapi pelaksanaannya mungkin akan mengundang masalah di kemudian hari.

 

Bolehkah mengimbangi Kebebasan dan Kredibiliti?

Di satu pihak, kredibiliti media memang perlu ditingkatkan. Di era ledakan maklumat digital, sukar untuk mengenalpasti sumber berita yang benar-benar sahih.

 

Namun bak kata pepatah, kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Adakah kerajaan Malaysia berjanji untuk memastikan majlis media ini bebas dari pengaruh politik dan menjalankan tanggungjawabnya secara telus?

 

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, menyatakan bahawa keseimbangan antara kebebasan dan kredibiliti adalah satu usaha yang sukar tetapi penting.

 

Majlis Media Malaysia, jika dibentuk dengan betul boleh menjadi satu alat yang mengawal etika tanpa menutup ruang kebebasan media.

 

Seperti yang berlaku di Kanada, majlis media di sana wujud secara bebas dan memberi ruang untuk media melapor secara bertanggungjawab.

 

Tetapi di Malaysia, struktur dan pelaksanaan undang-undang adalah sesuatu yang perlu diperhalusi agar tidak menjadi alat kawalan kepada pihak tertentu.

 

Kesan RUU Terhadap Rakyat

Bagi masyarakat awam, kesan daripada RUU ini adalah besar. Jika diluluskan, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan menerima maklumat yang telah ditapis.

 

Dalam situasi begini, masyarakat mungkin tidak lagi mendapat gambaran yang penuh tentang isu-isu penting di negara ini. Kesedaran dan keprihatinan rakyat adalah penting untuk memastikan segala bentuk kawalan tidak menutup peluang rakyat untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

 

Masyarakat perlu sedar bahawa mereka juga mempunyai peranan dalam memastikan kebebasan media terjamin. Tanpa kebebasan ini, sukar untuk mendapatkan berita yang sahih dan lengkap.

 

Kebebasan dan kebenaran ibarat air dan udara, kedua-duanya perlu seiring untuk melahirkan masyarakat yang cakna dan berpengetahuan akan perkembangan semasa yang berlaku di luar mahupun dalam negara.

 

Menyusun Langkah

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, Malaysia harus lebih berwaspada dalam usaha mengawal selia media.

 

RUU Majlis Media Malaysia sememangnya menawarkan potensi untuk memperbaiki kredibiliti media tempatan, tetapi kita harus tidak membiarkan ia menjadi alat untuk memasung suara masyarakat.

 

Pepatah ada menyebut, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Kawalan yang sedikit mungkin akan membesar menjadi cengkaman jika kita bersikap leka dan tidak mengambil tahu.

 

Oleh itu, kita perlu pastikan bahawa RUU ini benar-benar mampu mengangkat kredibiliti media dan bukan untuk menyekat kebebasan suara yang telah diperjuangkan.

 

Masa depan media Malaysia berada di tangan kita, tidak kira masyarakat, wartawan dan pihak berkuasa. Kita perlu bersatu dalam usaha mengekalkan keseimbangan antara etika dan kebebasan demi kemaslahatan kita bersama. - DagangNews.com

 

 

Muhammad Syafi Fauzan Bin Saifuddin adalah Mahasiswa Program Kewartawanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

____________________________________________________________________________________