Jika anda memandu di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), pasti mata akan tertancap pada tiang-tiang telefon kecemasan berwarna jingga yang tersedia di setiap dua kilometer di sepanjang lebuh raya bertol itu.
Anda pasti berasa kagum jika mengetahui sistem sokongan kecemasan tersebut sebahagiannya merupakan hasil inovasi oleh sebuah syarikat tempatan.
Pengarah Urusan UEM Group merangkap Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Bhd. (PLUS), Datuk Amran Hafiz Affifudin berkata, sistem sokongan telefon kecemasan itu sebenarnya dibangunkan oleh vendor tempatan yang bernaung di bawah Program Pembangunan Vendor (VDP) oleh PLUS.

Sejak dilaksanakan pada 2021, program pembangunan tersebut membolehkan vendor Bumiputera meningkatkan kemahiran serta memperkukuh daya tahan operasi jangka panjang.
“Keutamaan utama UEM Group adalah untuk memperkukuh keupayaan vendor. Kami melihat inisiatif pembangunan ini sebagai inisiatif berterusan untuk membina rangkaian kontraktor dan rakan kongsi teknologi Bumiputera yang bersedia menghadapi masa depan, serta dilengkapi untuk menyokong keperluan operasi dan industri yang sentiasa berubah.
“Kami melabur dalam pembinaan kapasiti mereka hari ini bukan sahaja membolehkan kami memperluas rantaian bekalan segera, malah pada masa sama, kami turut memupuk syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi, berupaya menggerakkan pembangunan infrastruktur masa depan Malaysia dan suatu hari nanti mampu menceburi peluang di peringkat serantau,” katanya.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar pula berkata, VDP PLUS telah membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengukuhkan keupayaan, memperluas pangkalan pelanggan serta berkembang menjadi penyedia penyelesaian khusus.
“Menerusi Rangka Kerja Pemerkasaan Vendor Bumiputera PLUS, kami turut memupuk rangkaian perusahaan Bumiputera yang lebih kukuh, berdaya saing dan berdaya tahan, mampu menyumbang secara bermakna kepada ekosistem infrastruktur dan pembangunan ekonomi negara.

“Dengan visi tersebut sebagai keutamaan, PLUS menyasarkan untuk memperluas capaian program ini dengan menggandakan bilangan vendor yang mengambil bahagian menjelang 2028, seterusnya mengukuhkan sumbangan kami ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Ukuran sebenar VDP bukan sekadar terletak pada pencapaian ekonomi, tetapi pada peluang yang diwujudkan untuk golongan yang cuba dibantu. Selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), UEM Group Bhd. (UEM Group), menerusi anak syarikatnya, PLUS, telah lama memainkan peranan dalam memacu keupayaan PKS Bumiputera dalam rantaian bekalan bernilai tinggi miliknya.
VDP PLUS ubah hala tuju D'Amante
Pengarah Pemasaran D'Amante Malaysia Sdn. Bhd., Zulhariz Zulkifli berkata, syarikatnya adalah antara pembangun sistem telefon kecemasan di Lebuhraya PLUS dan LPT2 di bawah seliaan anak syarikat PLUS, TERAS Teknologi Sdn. Bhd.
“Kalau anda pernah lihat papan penunjuk kadar tol di lorong tol, papan tanda mesej elektronik atau sistem litar tertutup televisyen (CCTV) di lebuh raya, itu merupakan satu daripada sistem sokongan daripada produk kami. Kami dah bekerjasama dengan PLUS sejak 1999,” katanya.
D'Amante ditubuhkan bapa Zulhariz pada 1999, ketika Krisis Kewangan Asia melanda, dengan hanya segelintir kakitangan berlatar belakang teknikal dan kontrak tahunan bernilai kira-kira RM500,000 pada peringkat awal.
“Saya mengambil alih syarikat ini daripada bapa pada 2019, sebelum pandemik Covid-19. Ketika itu kami cuma ada 30 orang pekerja,” katanya.
Zulhariz mengakui tempoh awal syarikat turut mencabar kerana kekurangan tenaga kerja mahir, selain perlu bersaing dengan pemain industri yang lebih besar dan mantap bagi membina kredibiliti pasaran.
“Pada awal penubuhan syarikat, mencari tenaga kerja mahir memang mencabar. Kami berusaha membina kredibiliti dari awal sebelum boleh bersaing untuk projek yang lebih besar,” katanya.

Zulhariz berkata, titik perubahan besar berlaku apabila D'Amante dipilih menyertai VDP PLUS pada 2022. Tindakan itu akhirnya membawa syarikat kepada peralihan gaya kepimpinan yang lebih terbuka dan celik digital berbanding generasi bapanya.
“Saya belajar banyak perkara baharu menerusi program VDP PLUS ini, daripada pembangunan modal insan hinggalah kepada analitik data. Kami turut berjaya menaikkan gred kontraktor CIDB daripada G4 kepada G7,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sokongan VDP tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu mempercepatkan pertumbuhan perniagaan, memperluas rangkaian perniagaan serta tenaga kerja dan meningkatkan daya saing merentas pelbagai industri.
Zulhariz berkata syarikatnya turut menggunakan platform itu untuk meneroka sektor baharu seperti industri rel, pengangkutan dan aeroangkasa. Keupayaan baharu itu disokong oleh pendedahan teknologi kenderaan generasi akan datang (NxGV) hasil lawatan ke China pada 2024.
Katanya, program itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Beliau berkata, pendedahan itu turut membuka laluan untuk D'Amante menyumbang kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam aspek kesediaan kenderaan elektrik.
Sejak menyertai VDP PLUS, syarikat reka bentuk perkakasan dan pembangunan perisian itu turut berjaya memperoleh pensijilan ISO 9001:2015, piawaian antarabangsa bagi sistem pengurusan kualiti, sebagai bukti pengukuhan tadbir urus korporatnya.
“Saya berhasrat untuk mewujudkan kesan pengganda dengan melibatkan graduan muda, seterusnya membimbing mereka dalam industri sama yang telah diceburi oleh D'Amante menerusi VDP PLUS,” katanya.
Zulhariz berkata syarikatnya turut menjalin kerjasama dengan institusi pengajian seperti Kolej Profesional MARA dan Kolej Komuniti Beranang bagi menawarkan pendedahan industri kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk menawarkan peluang latihan industri dan pekerjaan kepada bekas pelajar berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Focus Instruments (M) Sdn. Bhd., Azizi Harun yang turut menyertai program VDP PLUS berkata, syarikatnya yang ditubuhkan pada 2003 itu kini memberi tumpuan kepada pengukuhan peranannya sebagai penyedia Perkhidmatan ICT Terurus (Managed ICT Services).
Kepakaran syarikat merangkumi penyelesaian rangkaian, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pusat data, sistem pengawasan pintar serta perkhidmatan pengurusan infrastruktur ICT bagi menyokong keperluan transformasi digital pelanggan.
Beliau berkata, seperti kebanyakan syarikat tempatan yang sedang berkembang, Focus Instruments turut berdepan cabaran pada peringkat awal, termasuk membina kredibiliti dalam pasaran serta bersaing dengan syarikat yang lebih lama bertapak dan mempunyai sumber yang lebih besar.
Tambah beliau, penerapan modul Malaysia Business Excellence Framework (MBEF) melalui Program VDP PLUS telah menjadi pemangkin kepada transformasi organisasi dengan memperkukuh amalan tadbir urus korporat, pengurusan projek serta budaya kecemerlangan dan penambahbaikan berterusan.
Melalui kerangka tersebut, Focus Instruments berjaya meningkatkan daya saing syarikat menerusi pembangunan kompetensi tenaga kerja, pensijilan profesional, pengukuhan keupayaan keselamatan siber serta pelaburan dalam peralatan pengujian (testing tools) yang lebih moden.
"Program seperti VDP PLUS membuka peluang bernilai untuk syarikat Bumiputera meningkatkan daya saing. Bagaimanapun, kejayaan menuntut disiplin yang tinggi, komitmen berterusan, kesediaan untuk berinovasi, serta konsistensi dalam penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Azizi, hasil daripada transformasi organisasi, pengukuhan tadbir urus dan pembangunan kompetensi secara berterusan, Focus Instruments telah mencatatkan kadar pertumbuhan hasil tahunan gabungan (CAGR) yang memberangsangkan sebanyak 30 peratus, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Mengulas mengenai masa depan syarikat, Azizi berkata, Focus Instruments akan terus memperkukuh pelaburan dalam pembangunan bakat, pensijilan profesional, automasi operasi dan penerapan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta penyelesaian awan.
Jelas beliau, penyertaan dalam VDP PLUS bukan sekadar membantu kami meningkatkan kapasiti perniagaan, malah membentuk budaya organisasi yang lebih sistematik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan.
Menariknya, Focus Instruments turut menyertai lawatan pendedahan teknologi NxGV ke China bersama D'Amante pada 2024, membuktikan VDP PLUS turut menghubungkan vendor daripada latar belakang industri berbeza dalam satu platform pembelajaran yang sama.
Untuk rekod, PLUS memperuntukkan 90 peratus bajet perolehannya kepada perniagaan Bumiputera yang berkelayakan. Setakat ini, sembilan vendor telah tamat pengajian dan 13 lagi sedang melalui program VDP PLUS sejak ia diperkenalkan pada 2021, merangkumi bidang kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). - DagangNews.com








