Harga makanan di Bazar Ramadan semakin mahal? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga makanan di Bazar Ramadan semakin mahal?

Orang ramai sesak di Bazar Ramadan Bandari Sri Putra - Gambar hiasan ihsan Hassan Mohd Noor
Oleh Siti Azrina Adanan

Sejak bermulanya Ramadan, ramai peniaga mencuba nasib dengan berniaga juadah untuk berbuka puasa.

 

Bukan Sahaja di bazar Ramadan yang menyaksikan puluhan, malah ratusan gerai menjual pelbagai juadah, malah gerai-gerai kecil juga dapat dilihat di tepi-tepi jalan utama dan di halaman rumah terutamanya di kawasan kampung dan taman perumahan.

 

Tidak dinafikan kehadiran ramai peniaga ini sebenarnya menambahkan kemeriahan Ramadan. Namun apa yang dapat dilihat di media sosial adalah keluhan peniaga-peniaga yang merumuskan tahun 2025 ini adalah tahun di mana perniagaan mereka sangat diuji.

 

Tidak tahu di mana silapnya, ada di antara mereka yang hanya mendapat RM18 sehari hasil perniagaan air balang. Ini sudah pasti menyumbang kepada kerugian pada peniaga.

 

Dengan harga bahan mentah yang meningkat, pastinya sudah banyak dihabiskan untuk membiayai modal pusingan. 

 

Berikut adalah antara faktor yang memungkinkan kurangnya kuasa membeli di kalangan pelanggan juadah Ramadan:

 

1. Kenaikan Harga Barang

Harga makanan dan minuman di bazar meningkat akibat kenaikan harga bahan mentah yang mungkin disebabkan permintaan yang tinggi di bulan Ramadan ini.

Peniaga tiada pilihan lain selain terpaksa menaikkan harga jualan untuk menampung kos operasi lain seperti sewa tapak dan gaji pekerja.

 

Sebagai contoh, untuk menikmati beberapa jenis kuih melayu, pelanggan terpaksa membeli beberapa pek kerana kebanyakan kuih-muih sekarang dijual dalam pek mengikut jenis.

 

Jika 1 pek kuih karipap berharga RM3 untuk 3 biji, maka untuk membeli 3 jenis kuih kita perlu membelanjakan RM9, menyebabkan pembeli berfikir dua kali sebelum membeli. Mungkin dengan RM9 itu boleh digunakan untuk membeli makanan lain yang lebih mengenyangkan.

 

2. Banyak Alternatif yang Tersedia

Masih ramai yang memilih untuk memasak sendiri di rumah kerana lebih menjimatkan dan dapat mengawal rasa serta kualiti makanan.

 

Banyak juga luahan dari pelanggan yang menyatakan makanan yang dijual di bazar Ramadan sudah basi dan rasa yang tidak sepadan dengan harga.

 

Selain dari itu Platform seperti WhatsApp, Instagram, dan Facebook Marketplace juga memudahkan pesanan makanan ‘home-based’ yang lebih murah, terjamin rasa dan kualiti dan dihantar terus ke rumah.

 

3. Cuaca yang Tidak Menentu

Sejak bermula bulan Ramadan, kita dapat menyaksikan cuaca yang amat tidak menentu. Di kebanyakan hari, hujan ribut seringkali terjadi di waktu petang.

 

Musim hujan atau panas terik menyebabkan pembeli kurang selesa untuk keluar ke bazar. Ketika hujan lebat misalnya, pembeli akan memilih untuk tidak keluar membeli juadah kerana kesukaran mencari tempat letak kereta dan kesesakan.

 

4. Isu Kualiti Makanan

Seringkali kita melihat di media sosial luahan rasa pembeli yang kecewa dengan kualiti makanan yang dibeli sama ada kurang enak, tidak cukup masak, terlalu berminyak, atau kuantiti yang terlalu sedikit untuk harga yang dibayar.

 

Ada karipap yang luarannya nampak besar tetapi intinya kosong, roti john daging tetapi dagingnya hanya secebis dua, air laici kang tetapi isinya nata-de-coco, kuih lopes tetapi kelapanya basi, dan macam-macam lagi.

 

Ada juga peniaga yang menjual semula baki makanan yang tidak berjaya dijual pada hari semalam. Tidak dinafikan ada peniaga yang mengutamakan keuntungan berbanding kualiti makanan, menyebabkan pembeli serik untuk membeli semula.

 

Walaupun bukan semua peniaga bersikap begitu, sedikit sebanyak mereka juga akan terkena tempias apabila pelanggan lebih memilih untuk tidak ke bazar Ramadan.

 

5. Kesedaran Kesihatan yang Meningkat

Selain dari isu harga dan kualiti makanan, semakin ramai di kalangan kita yang mengutamakan pemakanan sihat dan mengelakkan makanan bergoreng, berminyak, atau terlalu manis yang banyak dijual di bazar lebih-lebih lagi makanan ‘viral’ yang majoritinya mengandungi kandungan gula dan bahan proses yang terlalu tinggi.

 

Pembeli yang lebih peka tentang kesihatan mungkin memilih untuk memasak sendiri atau membeli makanan yang lebih sihat dari kedai tertentu.

 

Mereka lebih memilih berbuka dengan makanan seimbang dan sihat contohnya memilih air kosong berbanding air manis berwarna-warni yang biasa dijual di bazar.

 

6. Keadaan Ekonomi yang Mencabar

Dengan kos sara hidup semasa yang agak tinggi, ramai yang lebih bijak merancang perbelanjaan dengan cara berjimat cermat dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

 

Ditambah pula bulan Ramadan tahun ini sangat rapat dengan tarikh pendaftaran sekolah yang pastinya memerlukan belanja yang agak besar.

 

Walaupun gaji minimum telah diselaraskan ke RM1700 bermula Febuari 2025, ia tidak bermaksud kuasa membeli bertambah. Ini kerana keperluan asas yang lain juga turut menerima impak kenaikan harga kerana pelarasan ini. Jadi membeli juadah di bazar Ramadan bukan lagi pilihan masyarakat.

 

Apa yang boleh dibuat?

Melihat dari sudut peniaga pula, mereka amat terkesan dengan perubahan corak pembelian pelanggan ini. Mereka telah berhempas pulas seawal pagi untuk persediaan berniaga di petang hari.

 

Untuk mewujudkan suasana menang-menang, beberapa langkah boleh diambil oleh peniaga, pihak berkuasa tempatan, serta pengguna sendiri.

 

Sebagai contoh, peniaga boleh menambahbaik kualiti makanan, menggunakan strategi pemasaran yang efektif, menawarkan harga yang berpatutan dan menyediakan menu yang lebih sihat.

 

Pihak berkuasa tempatan pula boleh mengawal harga sewaan tapak bazar, menjalan pemeriksaan kualiti berkala, memperbaiki insfrastruktur supaya lebih bersih dan teratur, dan membantu dalam mempromosikan bazar Ramadan ini.  

 

Sebagai pengguna pula, kita boleh tunjukkan sokongan kepada peniaga kecil di bazar selain dari jenama besar lain yang telah mempunyai asas yang kuat dalam perniagaan.

 

Selain itu, pengguna juga boleh memberi maklumbalas yang jujur kepada peniaga jika ada sebarang masalah pada juada yang diberi.

 

Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk memastikan semua mendapat manfaat dari peluang yang ada ketika bulan Ramadan ini.

 

Jika langkah-langkah dilaksanakan, bazar Ramadan bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pengunjung, tetapi juga memberi manfaat kepada ekonomi tempatan. - DagangNews.com

 

Siti Azrina Binti Adanan adalah Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan di Universiti Teknologi MARA Melaka