KUALA LUMPUR 19 April - Pakar ekonomi Sumitomo Mitsui Banking Corporation mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia berkembang sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun, pada 2024 dengan inflasi juga meningkat sebanyak 2%.
Pakar Ekonomi, Jabatan Pasaran Global dan Perbendaharaan, Bahagian Asia Pasifik di Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC), Ryota Abe berkata, secara amnya, sentimen perniagaan dan inflasi kekal stabil, justeru terdapat sedikit keperluan untuk BNM melaraskan kadar dasarnya dalam masa terdekat.
Beliau mengulas data terbaharu Jabatan Perangkaan hari ini yang mengumumkan KDNK sebenar Malaysia meningkat 3.9% tahun ke tahun pada suku pertama tahun in.
Mengenai mata wang Ringgit, Abe berkata, BNM berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 8 April bahawa Ringgit adalah di bawah nilai.
"Ringgit adalah sekitar 4.75 hari itu. Berkemungkinan BNM tidak akan bertolak ansur dengan susut nilai selanjutnya dalam Ringgit.
"Bagaimanapun, berdasarkan pergerakan lepas, tiada titik lantunan teknikal jika Ringgit melemah melepasi 4.80. Dalam kes ini, terdapat risiko mata wang semakin lemah.
"Dari sudut pandangan di atas, pihak berkuasa Malaysia berkemungkinan memerhatikan kadar pertukaran dengan teliti pada masa ini," kata beliau.
Dari perspektif asas makro kata Abe, sentimen perniagaan dan inflasi kekal stabil, dan eksport dijangka meningkat.
Bagaimanapun, data daripada Bloomberg menunjukkan aliran keluar daripada pasaran saham dan bon tahun ini setakat ini.
"Di samping itu, walaupun kemungkinan memperoleh mata wang asing meningkat disebabkan peningkatan eksport, adalah sukar bagi pengeksport untuk membeli Ringgit kerana ia dijangka melemah.
"Perlu diingat bahawa dalam persekitaran ini, memandangkan tahap kadar pertukaran semasa dan kebimbangan pihak berkuasa, turun naik Ringgit mungkin meningkat, walaupun tidak sebanyak beberapa mata wang Asia yang lain.
"Pada masa ini, kami menjangkakan USD/Ringgit akan menurun secara beransur-ansur kepada 4.62 pada akhir tahun," kata Abe. - DagangNews.com