KUALA LUMPUR 20 Sept - Opcom Holdings Bhd telah mencadangkan pembelian 70 juta saham atau 18.03% kepentingan ekuiti dalam Binasat Communications Bhd dengan pertimbangan pembelian berjumlah RM39.2 juta, mewakili 56 sen sesaham jualan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Opcom berkata anak syarikatnya Opcom VC Sdn Bhd telah memeterai perjanjian perjualan saham (SSA) dengan Pengarah Urusan dan pemegang saham terbesar Binasat, Na Boon Aik.
Pengambilalihan yang dijangka selesai pada minggu pertama Oktober 2023 ini merupakan usaha Opcom untuk berkembang dalam sektor telekomunikasi satelit.
Pengarah Urusan Opcom, Johnson Chang berkata langkah tersebut mempunyai potensi besar memandangkan Binasat, yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia, mempunyai reputasi kukuh untuk cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan sokongan yang penting kepada landskap telekomunikasi.

"Dengan pengambilalihan ini, kami bukan hanya memperluas operasi kami dalam sektor telekomunikasi tetapi turut mempelbagaikan perniagaan dalam segmen utiliti tenaga, langkah strategik yang meletakkan kami untuk pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan," ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Urusan Binasat, Na Boon Aik menzahirkan keyakinan terhadap pengambilalihan itu dengan menekankan peluang sinergi yang ditawarkannya.
“Kami percaya melalui kerjasama tersebut, kami boleh memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan dan pihak berkepentingan. Kami komited kepada proses integrasi yang lancar dan teruja dengan kemungkinan yang akan datang," katanya.

Binasat merupakan sebuah syarikat pemegang pelaburan dengan anak syarikat terlibat dalam penyediaan perkhidmatan sokongan untuk rangkaian telekomunikasi satelit, mudah alih dan fiber optik, perkhidmatan pembinaan infrastruktur utiliti rangkaian penghantaran dan pengedaran serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) kemudahan solar.
Saham Opcom ditutup tinggi pada 75 sen, menokok 6 sen atau 8.7% dengan permodalan pasaran sebanyak RM288 juta.
Sementara itu, saham Binasat ditutup rendah 5.5 sen atau 12.4% pada 39 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM151.4 juta. - DagangNews.com








