Muhyiddin tawar KJ jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Muhyiddin tawar KJ jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu 

Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Khairy Jamaluddin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mei - Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sudah ditawarkan memegang jawatan sebagai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Beliau berkata, keputusan berkenaan tawaran kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu sudah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu, baru-baru ini. 

 

"Pasal ni dah bincang dengan rakan-rakan saya, kita ada dua kekosongan, jika dia (KJ) setujulah. 

 

"Ini bukan umpan, kita biarkan KJ buat keputusan, kita tak gesa sangat, dia tahu masa yang sesuai," katanya pada sidang akhbar Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MPDP 2.0) di sini hari ini.

 

Muhyiddin juga berharap KJ dapat membuat keputusan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Jun ini. 

 

"Dewan Undangan Negeri akan bubar Jun, tempoh masa sudah terhad, jadi saudara KJ boleh fikirkan dengan baik, inilah masa yang sesuai, semua orang mengharapkan KJ menyertai Perikatan Nasional (PN). 

 

"Dia dah minta hendak jumpa saya lama dulu iaitu selepas dipecat Umno, jadi kami berjumpa berbincang secara terbuka, hala tuju dia (KJ), harapan parti kita.

 

 

muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MPDP 2.0) di Kuala Lumpur pada 17 Mei 2023.

 

"KJ tokoh politik muda yang berkaliber, sebenarnya dia tak mohon nak masuk, saya tawar dia," katanya.


  
Muhyiddin berkata, jika KJ menyertai Bersatu, beliau boleh membantu membina kekuatan parti.

 

"Semua orang dah tahu apa yang berlaku pada Umno hampir-hampir hancur lebur, rumah Umno dah jadi sarang DAP.

 

"Yang ni mungkin menghancurkan harapan sebahagian besar ahli Umno, jadi saya tak payah nak sebut, bagi parti Bersatu, kita  tahu hala tuju, kita lawan untuk rakyat Malaysia, pertahan semua hak masing-masing dan sah buktikan PRU lepas gabungan Bersatu dan Pas didokong oleh ahli Melayu,” ujarnya.

 

Sementara itu berkenaan persediaan menghadapi PRN di enam negeri, PN hampir memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponennya.

 

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, perbincangan mengenai perkara itu juga akan dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadual berlangsung pada 23 Mei ini.

 

"Saya sudah arahkan pasukan perunding setiap parti menyelesaikan (pembahagian kerusi). Mereka ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

 

"Ada satu, dua kerusi saja lagi dan apabila ini sudah selesai, kita akan tahu ia milik siapa. Kemudian kita akan minta senarai nama bakal calon bersesuaian untuk diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi," jelasnya. - DagangNews.com