MPOC raih potensi jualan bernilai RM182 juta daripada kunjungan pembeli Afrika | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPOC raih potensi jualan bernilai RM182 juta daripada kunjungan pembeli Afrika

Gambar DagangNews

KUALA LUMPUR 26 Okt - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berjaya meraih potensi jualan dianggarkan RM182 juta daripada kunjungan membabitkan beberapa syarikat minyak dan lelemak dari Afrika, baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata melalui 112 sesi mesyuarat dengan delegasi dari tujuh negara berbeza Afrika, pembeli mahu mendapatkan produk-produk seperti minyak sawit mentah, olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), kedua-duanya dalam pek pengguna dan pukal, minyak masak, lelemak, lemak khusus, produk oleokimia dan lilin sawit.

 

Beliau berkata, pengeluar minyak sawit Malaysia dan pengilang produk minyak sawit menghargai usaha MPOC dalam membawa ahli-ahli industri utama ke pasaran penting di Afrika.

 

"Ahli industri juga memuji variasi dalam komposisi pembeli Afrika kerana terdapat minat untuk mendapatkan kedua-dua produk secara pukal dan pek," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

"Lawatan Perangkaian dan Perdagangan untuk Pembeli Afrika" dianjurkan oleh MPOC untuk mengukuhkan pengembangan global minyak sawit Malaysia, salah satu komoditi eksport utama negara.

 

Menurut kenyataan itu, wilayah Afrika Sub-Sahara, sangat bergantung pada minyak sawit sebagai bahan mentah utama untuk industri minyak makan, menyumbang 66% daripada jumlah penggunaan minyak dan lemak pada 2022 - pertumbuhan yang semakin meningkat serta membuka peluang besar untuk eksport Malaysia.

 

Pada 2022, eksport minyak sawit Malaysia ke rantau Sub-Sahara merangkumi 14.8% daripada jumlah eksport minyak sawit negara, berjumlah 2.3 juta tan.

 

Berikutan hasil positif inisiatif itu, MPOC telah menerima permintaan tambahan daripada ahli industri untuk menjalankan program serupa di pasaran Timur Tengah, ASEAN dan Afrika Utara, lapor Bernama.

 

"Edisi kali ini terbukti berjaya hasil kerjasama dan sokongan padu pemainpemain  industri minyak sawit Malaysia, dan saya menggesa agar lebih ramai ahli industri mengambil bahagian dalam edisi 'Perdagangan dan Perangkaian' akan datang.

 

"Adalah penting untuk kami menguatkan usaha kami bagi mempromosikan minyak sawit Malaysia yang mampan kepada dunia dan pasaran yang belum diterokai di luar sana," kata Sron. - DagangNews.com