KUALA LUMPUR 28 Jun - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan beli-belah dalam talian untuk membendung penjualan anak benih kelapa sawit secara haram.
MPOB berkata, pihaknya sentiasa prihatin terhadap cabaran dan kekangan yang dihadapi industri kelapa sawit, lebih-lebih lagi permintaan yang tinggi terhadap anak benih kelapa sawit ketika ini.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan peraturan tersebut adalah bagi memastikan anak benih kelapa sawit yang dikeluarkan dan diniagakan adalah tulen serta berkualiti bagi menghasilkan produktiviti yang tinggi seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
"Pengeluaran dan penjualan anak benih kelapa sawit sentiasa dipantau oleh MPOB melalui pengawasan dan pemeriksaan rutin. Maklumat yang diperoleh akan membolehkan kebolehkesanan asal bahan tanaman kelapa sawit untuk mengesahkan ketulenan bahan tanaman tersebut," katanya dalam kenyataan media di sini.
MPOB berkata demikian bagi mengulas kenyataan media Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) berhubung masalah yang dihadapi pekebun kecil bebas di Sarawak bagi pembelian anak benih kelapa sawit berusia antara 10 hingga 15 bulan.
Katanya, mengikut Peraturan Pelesenan 2005 dan pekeliling penguatkuasaan Pk (EL) MPOB 03/2021, penjualan anak pokok kelapa sawit berumur kurang daripada 10 bulan hanya dibenarkan di tapak semaian.
Katanya, sebuah tapak semaian hanya dibenarkan menjual anak benih kelapa sawit berusia 10 bulan ke atas kepada pekebun kecil bebas.
"Pelesenan aktiviti industri kelapa sawit ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 (Peraturan Pelesenan 2005) yang terdiri daripada 24 kategori lesen termasuk Nurseri (NN).
"Kategori Nurseri membolehkan pemegang lesen mengeluarkan, menjual dan memindahkan, serta menyimpan anak benih kelapa sawit. Pada masa ini terdapat 182 pengusaha nurseri di Sarawak," katanya.
MPOB berkata, nurseri yang dikendalikan di bawah syarikat perladangan dibenarkan menjual anak pokok kelapa sawit yang berusia lebih daripada 10 bulan kepada pekebun kecil bebas dengan syarat mereka dilesenkan untuk aktiviti mengeluarkan dan menjual bahan tanaman kelapa sawit.
Untuk memohon aktiviti berlesen ini, ladang perlu memenuhi kriteria yang mana mereka perlu mempunyai kakitangan/pekerja yang lulus Ujian Pengurusan dan Penyelenggaraan Nurseri MPOB.
"Malangnya, sesetengah ladang tidak mempunyai pekerja yang berkelayakan dan cekap, jadi mereka tidak boleh memohon untuk aktiviti penjualan. Ini bagi memastikan anak benih kelapa sawit yang diterima oleh pekebun kecil adalah tulen, berkualiti tinggi dan sedia untuk ditanam," katanya.
Selain itu, terdapat 908 nurseri berlesen dengan MPOB yang mana 725 daripadanya telah berdaftar dengan pensijilan Kod Amalan Semaian Baik untuk Semaian Kelapa Sawit (CoPN).
"Daripada 725 nurseri berdaftar, sebanyak 299 telah disahkan. CoPN memastikan bahawa hanya anak benih kelapa sawit berkualiti tinggi dihasilkan.
"Premis yang memohon pensijilan CoPN akan mendapat faedah seperti pengetahuan teknikal, pengurusan yang betul dan teknologi baharu yang telah digunakan dalam operasi tapak semaian kelapa sawit," katanya. - DagangNews.com







