KUALA LUMPUR 29 Ogos - Minetech Resources Bhd catat hasil sebanyak RM29.01 juta, meningkat 9.56% bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (1QFY25) berbanding RM26.48 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya (1QFY24).
Syarikat mencatatkan untung kasar RM3.90 juta pada 1QFY25 meningkat daripada RM2.92 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh asas hasil yang lebih tinggi pada suku semasa.
Kata syarikat itu, pada 1QFY25, bahagian kejuruteraan awam menyaksikan pendapatan meningkat kepada RM20.5 juta, didorong oleh kemajuan berterusan dalam projek Lombong Emas Selinsing.
Selain itu, hasil produk bituminous menurun kepada RM6.66 juta, akibat persaingan sengit daripada pasaran antarabangsa.
Segmen tenaga pula khususnya tenaga boleh diperbaharui (RE) menyumbangkan RM1.85 juta dalam hasil bagi 1QFY25.
Berbanding dengan suku keempat sebelumnya, syarikat itu berkata, hasil pada 1QFY25 menurun daripada RM33.47 juta kepada RM29.01 juta akibat pengurangan volum pengeluaran di Selinsing Gold Projek lombong dan permintaan yang lebih rendah untuk produk emulsi.
"Bagaimanapun, hasil tenaga meningkat daripada RM1.78 juta tahun lalu kepada RM1.85 juta pada 1QFY25, didorong oleh keadaan cuaca yang menggalakkan dan mengurangkan masa berhenti pengeluaran.
"Walaupun hasil lebih rendah, kerugian sebelum cukai (LBT) syarikat menguncup dengan ketara, bertambah baik daripada kerugian sebanyak RM6.57 juta pada 4QFY24 kepada RM1.2 juta pada 1QFY25 didorong oleh penjejasan nilai yang dijalankan pada suku sebelumnya.
"Selain itu, syarikat mencatatkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak RM1.39 juta pada 1QFY25 menunjukkan peningkatan 95.77% daripada positif RM710,000 yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya," ujar Minetech.
Di samping itu, Minetech memuktamadkan Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 (AGM) hari ini, dengan pemegang saham meluluskan kesemua 10 resolusi biasa.
Selain resolusi pelantikan semula pengarah dan perkara tadbir urus korporat yang lain, syarikat juga mengemukakan resolusi khas untuk menukar nama syarikat kepada AIZO Group Bhd yang telah diluluskan oleh para pemegang saham.
Pengerusi Eksekutif Minetech, Abang Abdillah Izzarim berkata, walaupun syarikat beralih kepada AIZO Group Bhd matlamat utamanya kekal mengemudi syarikat ke arah keuntungan.
"Kami akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurus kos dengan berkesan, dan mengejar peluang strategik yang sejajar dengan objektif jangka panjang kami, sambil memberikan nilai kepada para pemegang saham kami," ujar beliau.- DagangNews.com








