Mindef, KDN meterai kontrak, perjanjian bernilai RM9.4 bilion perkasakan keselamatan | DagangNews Skip to main content

Mindef, KDN meterai kontrak, perjanjian bernilai RM9.4 bilion perkasakan keselamatan

Helikopter AW189 jenis sama yang bakal diterima APMM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 8 Mei - Kontrak keseluruhan bernilai kira-kira RM9.4 bilion dimeterai pada hari ketiga Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 bagi Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

Ia membabitkan perjanjian persefahaman (MoU), Surat Setuju Terima (LOA), Surat Niat (LOI) dan Sistem Integriti Korporat Sijil Malaysia (CISM).

 

Daripada nilai tersebut, pelbagai kontrak yang dimeterai Mindef sebanyak RM7.3 bilion manakala KDN RM2.1 bilion.

 

Kontrak Mindef melibatkan 40 syarikat yang terdiri daripada 17 LOA bernilai RM3.3 bilion, tujuh kontrak (RM1.9 bilion) dan empat LOI (RM1.83 bilion).

 

Pesawat
Sistem peluru berpandu antikereta kebal Karok buatan Turkiye.

 

Turut dimeterai adalah 10 MoU bernilai RM280 juta dan dua CISM.

 

Antaranya pembelian 18 unit senjata antikereta kebal jarak sederhana (ATGW-MR) dari Turkiye yang akan melengkapi batalion infantri untuk meningkatkan keupayaan kuasa tembakan.

 

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula akan menggantikan sistem radar pengawasan dan sistem pengurusan trafik udara kepada sistem yang terkini.

 

Sistem ini diperlukan dalam memastikan pergerakan keselamatan pesawat dan aliran trafik udara secara lebih cepat dan teratur. 

 

Kapal
Kapal KD Jebat.

 

Kontrak penyelenggaraan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula melibatkan tiga buah kapal iaitu KD Jebat, KD Perak dan KD Baung serta beberapa aset lain seperti helikopter dan kapal selam.

 

Bagi KDN, kontrak terbesar untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM1.57 juta, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (RM529,000) dan Jabatan Pendaftaran Negara (RM52,000).

 

PDRM antaranya akan menerima kapal pengangkut atau mother ship kelas Police Transport Vessel yang dibina Labuan Shipyard Engineering Sdn. Bhd., perolehan kamera badan daripada Mindwave Consultation Sdn. Bhd. dan kelengkapan beg galas tempur untuk Pasukan Gerakan Am.

 

Kontrak juga bagi pembelian 4 buah helikopter jenis Augusta Westland AW189 medium lift daripada Galaxy Aerospace (Malaysia) Sdn. Bhd.

 

Kapal
Sebuah kapal induk sedia ada milik PDRM.

 

Perolehan helikopter AW189 ini adalah untuk memenuhi keperluan pihak Maritim Malaysia bagi mempertingkatkan pemantauan udara dengan lebih meluas. - DagangNews.com