MIDF Research jangka OPR cecah paras 3.25% pada hujung 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research jangka OPR cecah paras 3.25% pada hujung 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - MIDF Research menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mencecah paras 3.25% pada penghujung tahun ini didorong permintaan kukuh ekonomi domestik.

 

Firma itu berkata, tumpuan semasa penetapan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) adalah bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

 

Katanya, ekonomi domestik Malaysia terus mengejutkan jangkaan pasaran terutamanya prestasi jualan perdagangan pengedaran, pasaran kerja yang ketat dan inflasi teras yang tidak stabil iaitu 3.8% bagi lima bulan pertama tahun ini berbanding 3% pada tahun lalu.

 

"Kami percaya BNM akan mempertimbangkan satu lagi kenaikan kadar 25bps pada separuh kedua tahun ini berikutan ekonomi domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Tiada kenaikan, Bank Negara Malaysia kekal OPR pada paras 3%

 

Firma itu berkata, BNM mungkin mengoptimumkan bahagian kewangannya melalui normalisasi Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2% kepada 3% tahun ini. Kadar SRR dikurangkan kepada 2.00% sejak Mac 2020.

 

Bagaimanapun, keputusan itu akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan lagi dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat.

 

"Dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan lagi dalam keberhutangan isi rumah," katanya. - DagangNews.com