18 petisyen gulung tikar sejak 2025, AZRB terkena ‘badi’ EKVE? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

18 petisyen gulung tikar sejak 2025, AZRB terkena ‘badi’ EKVE?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

Satu petisyen gulung tikar mungkin pertikaian biasa dalam dunia perniagaan. Dua atau tiga sudah tentu mengundang perhatian.

 

Bagaimana pula kalau 18?

 

Itulah yang berlaku kepada Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) dan syarikat dalam kumpulannya sejak 2025, berdasarkan semakan DagangNews terhadap pengumuman syarikat di Bursa Malaysia.

 

Lima petisyen dikenal pasti pada 2025 dan 13 lagi pada 2026 setakat 21 Ogos 2026.

 

Lalu timbul satu persoalan: adakah AZRB terkena 'badi' East Klang Valley Expressway (EKVE), projek lebuh raya yang mengambil masa panjang untuk syarikat itu siapkan dan menanggung kos pembiayaan yang besar?

 

Mungkin ya, mungkin tidak.

 

Semakan pengumuman Bursa menunjukkan sebahagian tuntutan memang mempunyai kaitan dengan EKVE, tetapi yang lain membabitkan projek atau urusan berbeza. Jadi tidak tepat untuk meletakkan kesemua 18 petisyen di bahu EKVE. Tidak juga tepat untuk tidak melihat EKVE sebagai punca.

 

Petisyen menderu bak air bah

Yang terbaharu minggu lalu, melibatkan anak syarikat milik penuh, Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), dan TKH Industrial Supply Sdn Bhd berhubung dakwaan hutang tertunggak RM407,753.55 bagi barangan serta bahan industri dan pembinaan yang dibekalkan.

 

Menurut pengumuman AZRB kepada Bursa Malaysia, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya pada 18 Ogos dan diserahkan kepada AZSB pada 20 Ogos.

 

AZSB sedang berbincang dengan TKH Industrial Supply bagi mencapai penyelesaian segera secara baik. AZRB berkata kumpulan tidak menjangkakan kerugian daripada petisyen itu selain kos guaman dan perbelanjaan berkaitan.

 

Pada 2025, lima petisyen melibatkan AZSB datang daripada Sunway Geotechnics (M) Sdn Bhd, Giga Engineering & Construction Sdn Bhd, Desuvara (M) Sdn Bhd, Perunding ZKR Sdn Bhd dan Mentari Kencana Sdn Bhd.

 

Tuntutan yang dinyatakan masing-masing sekitar RM1.74 juta, RM5.86 juta, RM2.01 juta, RM5.20 juta dan RM109,860.


 

AZRB

 


Masuk 2026, senarainya menjadi lebih panjang.

 

Antaranya Ang Cheng Ho Quarry Sdn Bhd, Nurachem Sdn Bhd, Qimako Engineering & Construction Sdn Bhd, BBR Construction Systems (M) Sdn Bhd, Pathfinder M & E Sdn Bhd, Tenaga Nirwana (M) Sdn Bhd, Muhibbah Engineering (M) Bhd, Tycotech Aluminium Sdn Bhd, Perunding ZKR dan TKH Industrial Supply.

 

AmBank Islamic Bhd pula memfailkan petisyen yang turut melibatkan AZRB sendiri dan AZSB Machineries Sdn Bhd.

 

Aneka Jaringan Sdn Bhd turut memfailkan petisyen pada 19 Ogos. Bagaimanapun, AZRB memaklumkan pada 20 Ogos bahawa petisyen itu belum diserahkan kepada AZSB ketika pengumuman dibuat.


 

AZRB

 


Perkara ini penting. Petisyen gulung tikar ialah tindakan undang-undang oleh pihak yang membuat tuntutan. Ia bukan dengan sendirinya keputusan mahkamah bahawa syarikat berkenaan mesti gulung tikar atau perlu membayar keseluruhan jumlah yang dituntut.

 

Berapa banyak sebenarnya berkaitan EKVE?

Di sinilah EKVE masuk ke dalam cerita.

 

Pengumuman berkaitan Perunding ZKR pada Ogos menyatakan tuntutan kira-kira RM3.94 juta mempunyai kaitan dengan kerja bagi projek EKVE.

 

Tuntutan Tenaga Nirwana pula merangkumi kerja bagi beberapa projek, termasuk Jambatan Sungai Kuantan, EKVE dan MRT V6.

 

Muhibbah Engineering berbeza. Tuntutannya berkaitan MRT2.

 

Petisyen lain pula melibatkan barangan, bahan atau kerja yang didakwa belum dibayar tanpa pengumuman berkenaan semestinya menyatakan kaitan dengan EKVE.

 

Maka kalau ditanya sama ada semua petisyen ini adalah 'badi' EKVE, jawapannya tentulah tidak.

 

Tetapi kalau ditanya sama ada EKVE mempunyai kesan besar terhadap kedudukan kewangan AZRB, angka kewangannya memberikan sesuatu untuk difikirkan.

 

Kos kewangan RM111.1 juta

Bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Disember 2025, AZRB mencatat hasil RM1.046 bilion tetapi mengalami kerugian sebelum cukai RM49.7 juta.

 

Pada tahun kewangan sebelumnya, kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai RM132.4 juta.

 

Perbandingan itu perlu dibuat dengan berhati-hati kerana tempoh kewangan terkini meliputi 18 bulan selepas AZRB menukar akhir tahun kewangannya kepada 31 Disember.

 

Yang lebih menarik perhatian ialah kos kewangan.

 

Ia mencecah RM111.1 juta, sebahagian besarnya berkaitan konsesi EKVE.

 

Dana pemegang saham pula berkurangan kepada RM121.9 juta daripada RM199.5 juta, sementara liabiliti semasa melebihi aset semasa sebanyak RM890.3 juta.

 

Juruaudit turut mengetengahkan ketidakpastian material berkaitan usaha berterusan. Bahasa akauntan memang kadang-kadang membuat orang berkerut dahi.

 

Dalam bahasa lebih mudah, juruaudit memberi perhatian kepada keadaan yang boleh menimbulkan keraguan terhadap keupayaan kumpulan meneruskan operasi. Ia bukan keputusan bahawa AZRB akan gulung tikar.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, hasil AZRB meningkat kepada RM154.75 juta daripada RM133.14 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Namun, kumpulan mencatat kerugian sebelum cukai RM2.66 juta berbanding keuntungan RM3.48 juta sebelumnya.

 

EKVE mula kutip tol

EKVE bukan sekadar satu lagi projek pembinaan dalam portfolio AZRB.

 

Kumpulan mempunyai kepentingan dalam projek lebuh raya itu melalui anak syarikatnya di bawah konsesi selama 50 tahun, menjadikan prestasi EKVE mempunyai hubungan langsung dengan kedudukan kewangan jangka panjang AZRB.

 

Sebab itu apabila kos kewangan berkaitan konsesi tersebut meningkat, kesannya tidak boleh dilihat seperti sebuah projek pembinaan biasa yang selesai apabila kerja diserahkan kepada pelanggan.

 

Seksyen 1 EKVE dari Sungai Long ke Ampang dibuka pada 30 Ogos 2025, dengan kutipan tol bermula pada 25 Oktober.

 

Seksyen 2 pula masih dalam pembinaan dan disasarkan siap menjelang akhir 2026.

 

Selepas bertahun-tahun memerlukan modal dan pembiayaan, sebahagian EKVE kini sudah menjadi aset yang menghasilkan pendapatan.

 

Ini juga menjelaskan mengapa persoalan mengenai 'badi' EKVE relevan dalam melihat kedudukan AZRB. Beberapa petisyen yang dihadapi kumpulan mempunyai kaitan dengan kerja projek tersebut, sementara kos kewangan kumpulan sebanyak RM111.1 juta juga sebahagian besarnya berkaitan konsesi EKVE.

 

Namun, sekali lagi, bukan semua petisyen terhadap AZRB dan anak syarikatnya berpunca daripada EKVE.

 

Persoalan selepas ini ialah sama ada kutipan tol daripada lebuh raya itu, apabila semakin banyak bahagiannya beroperasi, akhirnya dapat memberikan aliran tunai yang cukup bermakna untuk membantu mengimbangi beban pembiayaan yang ditanggung.

 

Itu belum boleh dijawab sekarang.

 

Dalam sibuk melayan petisyen, kontrak RM430 juta masuk

Kalau cerita AZRB berhenti pada petisyen, kerugian dan RM111.1 juta kos kewangan, memang mudah membuat kesimpulan.

 

Tetapi cerita ini mempunyai satu lagi bahagian.

 

Pada Februari 2026, AZSB menerima surat penerimaan daripada Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kerja Raya bagi kontrak bernilai RM430.06 juta. Kontrak selama 42 bulan itu bermula pada 16 Februari 2026.

 

AZRB juga mempunyai buku pesanan kejuruteraan dan pembinaan sekitar RM1.1 bilion.

 

Maknanya, dalam tempoh kumpulan berdepan rentetan petisyen dan tekanan kewangan, kerja masih ada. Malah kerja baharu bernilai ratusan juta ringgit masih diperoleh.

 

Badi atau bukan?

Mungkin ya, mungkin tidak. Dan rasanya terlalu awal untuk sesiapa memberikan jawapan muktamad.

 

EKVE jelas meninggalkan kesan terhadap kewangan AZRB. Kos kewangan RM111.1 juta, yang sebahagian besarnya berkaitan konsesi itu, bukan angka kecil.

 

Beberapa tuntutan pemiutang pula memang mempunyai kaitan dengan kerja EKVE.

 

Tetapi fakta Bursa juga menunjukkan bukan semua petisyen berpunca daripada projek itu.

 

Yang lebih menarik ialah bagaimana AZRB masih bertahan selepas berdepan rentetan tuntutan sedemikian.

 

AZRB masih beroperasi. Projek masih berjalan. EKVE sudah mengutip tol. Buku pesanan masih ada. Kontrak baharu masih diperoleh.

 

Cuma jangan terpesona sangat dengan angka kontrak. Kontrak RM430 juta tidak bermaksud RM430 juta masuk ke akaun bank keesokan harinya.

 

Industri pembinaan tidak bekerja begitu.

 

Kontraktor perlu melaksanakan kerja, membeli bahan, membayar pekerja dan subkontraktor, kemudian membuat tuntutan mengikut kemajuan sebelum pembayaran diterima.

 

Atas sebab itu Merrepak lebih berminat melihat aliran tunai AZRB selepas ini daripada sekadar menghitung berapa banyak kontrak yang dimenangi.

 

Bolehkah buku pesanan RM1.1 bilion diterjemahkan kepada tunai dengan cukup pantas?

 

Adakah kutipan tol EKVE akan mula memberikan sumbangan yang cukup bermakna untuk mengurangkan tekanan pembiayaan?

 

Dan satu lagi angka yang mungkin paling mudah diperhatikan: adakah bilangan petisyen mula berkurangan?

 

Kita tunggu pengumuman Bursa seterusnya. — DagangNews.com
 

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror sepanjang lebih 34 tahun kerjayanya sebagai wartawan. `Merrepak' ialah kolum pojok beliau yang mula diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009, menyentuh apa sahaja isu yang mencuit jiwa dan minda sepanjang minggu, atau yang membuatkannya mendengar lagu Creedence Clearwater Revival - Have You Ever Seen The Rain berulang-ulang kali.