Mercury Securities nilai saham UUE Holdings bakal disenarai di Papan Ace Bursa Malaysia pada 46 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mercury Securities nilai saham UUE Holdings bakal disenarai di Papan Ace Bursa Malaysia pada 46 sen

Anak syarikat UUE, Premier Plastic Industry terlibat dalam pengeluaran paip HDPE.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Jun - Mercury Securities memberi nilai wajar sebanyak 46 sen terhadap UUE Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia 2 Julai 2024.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 13 kali ganda daripada pendapatan sesahamnya bagi unjuran tahun kewangan 2025 (FY25F).

 

Ini mencerminkan potensi kenaikan sehingga 90% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) UUE yang merupakan penyedia rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah, kata firma penyelidikan itu.

 

"Kami percaya penilaian sasaran kami sebanyak 13x PE adalah sesuai untuk sebuah syarikat kejuruteraan pembinaan bersaiz kecil (berbanding 19.7x PE untuk Indeks Pembinaan KL).

 

"Pemacu utama bagi UUE termasuk prestasi pendapatan yang kukuh dan kemenangan kontrak utama. 

 

"Kami perhatikan syarikat seumpama yang disenaraikan seperti MN Holdings (+41% YTD) dan Jati Tinggi (+27% YTD) berdagang pada 22-29x PE, di tengah-tengah jangkaan pertumbuhan pendapatan yang kuat yang timbul daripada pelaburan besar-besaran baru-baru ini dalam pusat data dan projek hartanah runcit di Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: UUE Holdings sasar kumpul RM29.98 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Menurut Mercury Securities, UUE Holdings meraih manfaat daripada peningkatan perbelanjaan modal Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk memperkukuhkan infrastruktur grid kebangsaan.

 

Katanya, ini memandangkan kira-kira 80% daripada pendapatan UUE Holdings datang dari industri bekalan tenaga elektrik.

 

"Dengan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mendorong peningkatan belanja modal TNB dalam beberapa tahun akan datang, kami percaya ini memberi kebaikan kepada UUE.

 

"Kami menjangkakan pendapatannya akan berkembang pada KAGR 3 tahun ganda-digit sebanyak 23% dari FY23-26F," jelasnya.

 

Tanpa mengira kos penyenaraian, firma penyelidikan itu berkata, margin untung selepas cukai (PAT) terkini UUE berada pada kadar sekitar 15-16%, yang jauh lebih unggul berbanding dengan rakan sejawat yang disenaraikan seperti MN Holdings (6-7%) dan Jati Tinggi Group (3-4%). 

 

"Kami percaya ini terutamanya disebabkan oleh dua faktor iaitu UUE terutamanya pakar dan memberi tumpuan kepada kaedah HDD tanpa terowong, yang menawarkan margin yang lebih baik; dan Kumpulan ini memiliki pengeluaran paip HDPE sendiri, yang melengkapkan perniagaan utamanya," ujarnya.- DagangNews.com