Mekanisme penetapan harga bahan api bersesuaian bakal dilakukan dorong guna tenaga lebih cekap - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Mekanisme penetapan harga bahan api bersesuaian bakal dilakukan dorong guna tenaga lebih cekap - Amir Hamzah

Kerajaan mengambil kira impak sosioekonomi terhadap rakyat dalam penetapan mekanasime harga bahan api yang bersesuaian. Gambar DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 April - Kerajaan akan melaksanakan mekanisme penetapan harga bahan api yang bersesuaian dalam mendorong kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan peralihan kepada tenaga boleh baharu (RE).

 

Menteri Kewangan Kedua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagaimanapun pada masa yang sama kerajaan tetap mengambil kira impak sosioekonomi terhadap rakyatnya.

 

"Bagi menyambut usaha tindakan perubahan iklim global, Malaysia menyasarkan untuk mencapai keseimbangan melalui pelaksanaan mekanisme penetapan harga bahan api yang bersesuaian dalam mendorong kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan peralihan kepada RE; tetapi pada masa yang sama mengambil kira impak sosioekonomi terhadap rakyatnya.

 

"Pendekatan ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan amalan lestari tanpa membebankan rakyatnya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Subsidi bersasar tetap dilaksana kerajaan pada 2024, pemotongan secara berperingkat - Rafizi

 

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) di Washington D.C. yang dihadiri Amir Hamzah.

 

Menurut Kementerian Kewangan, mesyuarat ini merupakan platform untuk membincangkan hal ehwal berkaitan hubungan dua hala dan pelbagai hala di antara Malaysia dengan Kumpulan Bank Dunia dan IMF serta negara-negara anggota yang lain. 

 

Katanya, negara-negara anggota juga akan berkongsi pendapat berhubung pelaksanaan strategi dan dasar negara masing-masing dalam menangani isu-isu semasa ekonomi dan kewangan global dalam sidang plenari dan sesi perbincangan semasa Mesyuarat Mengenai Persefahaman Tindakan Iklim Menteri- Menteri Kewangan (CFMCA).

 

Amir Hamzah juga pada sela-sela Mesyuarat Musim Bunga ini mengadakan sesi libat urus dengan Agensi-agensi Penarafan Kredit (CRA) antaranya JP Morgan, Standard and Poors (S&P), Moody's dan Fitch. 

 

amir
Amir Hamzah Azizan (tengah) mengadakan sesi libat urus dengan Agensi-agensi Penarafan Kredit (CRA) di Washington D.C. Gambar MoF

 

"Selain daripada itu, YB Senator Amir Hamzah turut berkongsi dan bertukar pandangan dengan ketua delegasi daripada negara-negara anggota yang lain berkenaan perkembangan ekonomi negara dan global melalui mesyuarat-mesyuarat dua hala yang telah dijadualkan.

 

"Beliau mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan IMF dan WBG untuk membincangkan hala tuju program dan aktiviti yang dilaksanakan di bawah kerjasama Malaysia dengan IMF dan WBG.

 

Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Musim Bunga IMF dan WBG ini penting sejajar dengan komitmen berterusan negara dalam usaha menggiatkan pertumbuhan secara bersama, khususnya dalam perkembangan ekonomi serantau dan global. - DagangNews.com