Maxis, Public Bank jalin kerjasama percepat inisiatif pendigitalan PKS Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis, Public Bank jalin kerjasama percepat inisiatif pendigitalan PKS Malaysia

Carene Khoo Geok Kheng (dua, kiri) dan Kevin Lee (dua, kanan) ketika majlis pemeteraian MoU antara Public Bank dan Maxis, baru-baru ini. Turut kelihatan, Angie Ng Suat Yean (kiri) dan Danny Low (kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Maxis dan Public Bank Bhd menjalin kerjasama untuk mempercepatkan penerimagunaan digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia. 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata, melalui kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU), kedua-dua pihak menjalankan program kesedaran bersama untuk mempromosikan digitalisasi antara PKS. 

 

Beliau berkata, ia juga membuka jalan untuk PKS mengakses rumusan digital dengan bantuan kewangan untuk melaksanakannya. 

 

"Kami percaya bahawa dengan menggabungkan kepakaran kewangan kami dengan kebolehan teknologi Maxis, kami dapat memberikan impak yang bermakna dalam transformasi digital PKS Malaysia, membolehkan mereka berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

 

"Public Bank dan Maxis bersama-sama berdedikasi untuk menyokong perniagaan dalam perjalanan mereka ke arah kejayaan, memanfaatkan yang terbaik daripada perbankan dan teknologi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Besar Pengurusan Kewangan dan Perbankan Urusniaga Public Bank Carene Khoo Geok Kheng; Ketua Segmen PKS dan Pasaran Pertengahan Maxis Business, Kevin Lee; Naib Presiden Perbankan Enterprise Pengurusan Kewangan dan Perbankan Urusniaga Public Bank, Angie Ng Suat Yean dan Ketua Perniagaan Kecil dan Sederhana Maxis Business, Danny Low.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng pula berkata, pihaknya gembira mempunyai Public Bank sebagai rakan kerjasama yang berfikiran sama dalam mencerminkan komitmen untuk membantu PKS. 

 

"Kami ingin memudahkan digitalisasi untuk PKS, supaya mereka boleh memberi fokus kepada mengembangkan perniagaan mereka. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat bersama-sama memacu transformasi digital PKS Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, kedua-dua pihak menerokai langkah untuk bersama-sama melibatkan pelanggan masing-masing melalui aktiviti di lapangan dan dalam talian. Ia mungkin termasuk aktiviti seperti acara kesedaran di rangkaian cawangan Public Bank.

 

Maxis Business menjadi rakan telekomunikasi dan digital rasmi Program Bantuan Digital PKS PB enterprise oleh Public Bank. 

 

Ia membolehkan pelanggan PKS Public Bank untuk mengakses rangkaian penyelesaian ketersambungan dan digital Maxis untuk memenuhi pelbagai keperluan perniagaan mereka, seperti ketersambungan mudah alih dan tetap, pembayaran, e-dagang, awan dan keselamatan siber.

 

Maxis Business juga membantu pelanggan PKS Public Bank memohon untuk geran pendigitalan iaitu Geran Digital PMKS Madani oleh Kerajaan Malaysia untuk mengimplementasikan rumusan tersebut. 

 

PKS yang memerlukan bantuan kewangan lanjut juga boleh meneroka pelbagai rumusan pembiayaan yang ditawarkan Public Bank. - DagangNews.com