KUALA LUMPUR 12 Mac - Maxis dan Dell Technologies akan bekerjasama untuk memperkasakan perniagaan di Malaysia dengan rumusan keselamatan siber termaju dan rumusan titik akhir perusahaan yang inovatif menerusi 5G.
Di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai oleh mereka, Maxis dan Dell Technologies akan bergabung tenaga mengusahakan penawaran yang akan melindungi perniagaan daripada ancaman siber dengan lebih baik dan memastikan mekanisme pemulihan perniagaan yang teguh.
Sebahagian daripada pendekatan ini juga termasuk rumusan titik akhir inovatif yang memanfaatkan ketersambungan 5G bagi meningkatkan dan melindungi produktiviti tempat kerja, menurut kenyataan media Maxis hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata kerjasama dengan Dell Technologies akan memenuhi keperluan strategik yang penting untuk infrastruktur digital yang selamat dan berdaya tahan di Malaysia.
“Berdasarkan komitmen bersama kami terhadap inovasi, kami menjangkakan pembangunan perkhidmatan dan rumusan digital berkesan yang boleh mempercepatkan transformasi digital pelanggan, serta memastikan masa depan industri yang berdaya tahan dan mampan,” katanya dalam kenyataan tersebut,
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine menambah bahawa selain mencegah ancaman, usaha tersebut turut memberi tumpuan kepada daya tahan perniagaan.
“Dengan menggabungkan kepakaran, kami boleh menangani cabaran yang mendesak dan membimbing perusahaan dalam menghadapi kerumitan landskap digital dengan keyakinan,” ujar beliau.
Pengetahuan mendalam Maxis tentang landskap telekomunikasi tempatan dan kepakaran global Dell Technologies dalam rumusan digital, mewujudkan kerjasama yang kukuh untuk membangunkan produk dan perkhidmatan perniagaan baharu bagi meningkatkan ketangkasan dan kecekapan perniagaan untuk syarikat dari semua saiz merentasi pelbagai industri vertikal.
MoU tersebut telah ditandatangani di Mobile World Congress 2024 di Barcelona, Sepanyol, di mana Maxis telah menyertai sebagai sebahagian daripada Pavilion Malaysia.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. - DagangNews.com








