KUALA LUMPUR 21 Sept - Malaysia berhasrat memperkukuh hubungan dua hala dengan Iran melalui kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu.
Hasrat itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan dengan Presiden Iran, Seyed Ebrahim Raisi, menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, pada masa sama Malaysia juga mengulangi komitmen untuk mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama (JCM) dan mesyuarat suruhanjaya ekonomi (JEC) antara dua negara bagi menghalusi semua potensi skop kerjasama.
"Semoga hubungan Malaysia dan Iran akan terus diperkukuh demi manfaat bersama, Insya-Allah," katanya.

Terdahulu, Anwar tiba di New York, Amerika Syarikat bagi menyertai pemimpin-pemimpin dunia menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78. - DagangNews.com








