KUALA LUMPUR 19 Ogos - Malacca Securities memberikan nilai wajar pengendali rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia, 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Speed Mart) pada RM1.70 sesaham.
Penilaian itu menunjukkan potensi kenaikan 3.3% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.65 sesaham 99 Speed Mart yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 September 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, 99 Speed Mart dinilai dengan pendapatan sesaham tahun kewangan 2025 (FY2025) sebanyak 30 kali.
"Pada FY23, pendapatan 99 Speed Mart meningkat kepada RM9.2 bilion daripada RM7.8 bilion pada FY21, dengan mencatatkan CAGR sebanyak 8.4%.
"Pertumbuhan ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam transaksi jualan yang dipacu oleh pertambahan bilangan cawangan di seluruh negara dan nilai transaksi purata harian yang agak stabil.
"Ke depan, kami meramalkan pendapatan 99 Speed Mart akan berkembang pada kadar 5.9%-7.6%, mencapai RM9.8 bilion-RM11.2 bilion untuk FY24-FY26, manakala keuntungan bersih terasnya dijangka meningkat sebanyak 6.1%-10.4% kepada RM442 juta-RM506.4 juta, disokong oleh pengembangan cawangan yang berterusan dan penubuhan pusat pengedaran baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Malacca Securities berkata, 99 Speed Mart memegang bahagian terbesar dalam segmen pasar mini dengan rangkaian cawangan yang luas di seluruh Malaysia telah meletakkan 99 Speed Mart di hadapan peruncit pasar mini dan kedai runcit berasaskan makanan di Malaysia.
Kata firma penyelidikan itu, 99 Speed Mart menyumbang secara signifikan kepada bahagian pasaran pasar mini dan perniagaan berasaskan barangan runcit yang kukuh masing-masing sebanyak 40.1% dan 11.6% mengikut hasil pada tahun 2023.
ARTIKEL BERKAITAN: 99 Speed Mart lancar IPO terbesar di Malaysia sejak 2017, jangka kumpul sehingga RM2.3 bilion

"Prospek kekal cerah yang mana menurut Laporan IMR, segmen runcit pasar mini di Malaysia dijangka berkembang pada CAGR sebanyak 5.4% antara 2023-2028, dipacu oleh pengembangan peruncit rangkaian yang memenuhi keperluan pengguna yang mencari kemudahan dan aksesibiliti.
"Kami percaya, kumpulan ini berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan ini, terutamanya dengan memperluas rangkaian cawangannya," jelasnya.
Malacca Securities berkata, 99 Speed Mart telah berkembang daripada hanya 100 cawangan pada tahun 2008 kepada 2,651 buah dengan kumpulan ini bercadang untuk meneruskan strategi pertumbuhan agresif dengan membuka 250 cawangan baru setiap tahun.
Katanya, 99 Speed Mart meletakkan sasaran mencapai kira-kira 3,000 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun 2025 dan pengembangan ini dijangka meningkatkan transaksi jualan, ruang pengiklanan dan kapasiti produk.
"99 Speed Mart mengendalikan rangkaian 19 pusat pengedaran di seluruh Malaysia yang disokong oleh 618 trak penghantaran.
"Bagi menampung bilangan cawangan yang semakin meningkat, kumpulan ini berhasrat untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 25 pusat penedaran baru di Selangor, Pahang, Kedah, Sabah, dan Sarawak, sambil menggantikan trak penghantaran yang berusia lebih 15 tahun dalam tempoh 2-3 tahun akan datang.
"Usaha ini akan mengoptimumkan kapasiti setiap pusat pengedaran, meminimumkan masa penghantaran, meningkatkan pemenuhan pesanan dan memastikan pengisian semula barangan popular dengan lebih cepat," ujarnya. - DagangNews.com








