KUALA LUMPUR 10 Jan - Malaysia Aviation Group (MAG) memperkenalkan pakaian seragam baharu bagi barisan hadapan syarikat pengendalian daratnya, AeroDarat Services (ADS), yang moden sambil mengekalkan budaya Malaysia dengan corak bermotifkan songket.
MAG dalam satu kenyataan hari ini berkata pakaian seragam baharu tersebut menggabungkan gaya dan praktikal dengan tumpuan kepada kepelbagaian, untuk memenuhi peranan ADS dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada semua syarikat penerbangan di bawah MAG, serta syarikat penerbangan asing yang mendarat di lapangan terbang domestik negara.
Koleksi pakaian seragam tersebut merangkumi sut tiga helai, dengan pilihan skirt atau seluar untuk wanita, yang dibuat dengan fabrik bernafas dan mudah dijaga, mengutamakan keselesaan dan kemudahan.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Izham Ismail berkata, pakaian seragam ADS baharu melambangkan komitmen syarikat terhadap profesionalisme dan kesaksamaan, di samping menghargai semangat dan budaya Malaysia dengan corak bermotifkan songket.

Menurut beliau, ia juga meraikan bakat dalaman syarikat memandangkan pakaian seragam itu direka khas oleh minda muda kreatif dalam MAG, merangkumi perpaduan dan kreativiti yang akan memacu organisasi ke hadapan.
“Walaupun kami tahu perubahan merupakan sebahagian daripada perkembangan yang tidak dapat dielak, apa yang kekal tidak berbelah bahagi adalah komitmen kami untuk menyampaikan intipati unik hospitaliti Malaysia.
“Ini sangat tertanam dalam DNA kami dan dalam setiap aspek operasi, memastikan tetamu terus mengalami kebiasaan dan kemesraan yang menonjolkan jenama kami,” katanya dalam majlis pelancaran di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Majlis tersebut disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Sebagai tambahan kepada pakaian seragam baharu, MAG juga memperkenalkan beg tangan dan klac kakitangan darat buat julung kalinya yang digunakan semula daripada pakaian seragam kebaya sebelum ini.
MAG berkata langkah penting ini bukan sahaja menggariskan komitmen Kumpulan dalam menerapkan amalan mampan dalam operasinya, tetapi juga meraikan perjalanan bersejarah organisasi. - DagangNews.com








