Wasiyyah peroleh pensijilan patuh syariah pertama di dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasiyyah peroleh pensijilan patuh syariah pertama di dunia

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Beberapa minggu lalu, Wasiyyah Berhad memperoleh pensijilan Patuh Syariah daripada ADL Advisory, sebuah syarikat penasihat syariah yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta merupakan rakan latihan kepada Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI).

 

Walaupun beralamat di Malaysia, ADL Advisory beroperasi di peringkat antarabangsa.

 

Bagi mendapatkan pensijilan ini, Wasiyyah perlu mengemukakan semua maklumat berkaitan spesifikasi prosedur operasi standard (SOP), hujah syarak, dapatan penyelidikan, perundangan serta keputusan Panel Syariah syarikat.

 

Wasiyyah perlu berhujah dan membuktikan mengapa setiap perkhidmatan serta tindakannya selari dengan spesifikasi yang ditetapkan, sekali gus mematuhi tatacara tadbir urus korporat terbaik.

 

Proses ini mengambil masa hampir enam bulan. Pensijilan ini diterima khusus bagi perkhidmatan hibah bagi harta bercagar yang dipelopori Wasiyyah di Malaysia sejak 2017.

 

Memandangkan Wasiyyah menawarkan lebih 42 jenis perkhidmatan, pensijilan lain akan menyusul pada masa akan datang insya-Allah.

 

Pensijilan Patuh Syariah ini membuka lembaran baharu kepada Wasiyyah kerana ia merupakan pengiktirafan peringkat antarabangsa dan mematuhi standard AAOIFI dalam urusan hibah.

 

Lebih membanggakan, pensijilan ini merupakan yang pertama di dunia dalam industri pewarisan harta Islam.

 

 

Wasiyyah

 

 

Wasiyyah juga dimaklumkan bahawa standard yang digunapakai syarikat akan dijadikan penanda aras oleh pihak lain yang mahu mendapatkan pensijilan sama bagi kategori perkhidmatan tersebut.

 

Saya berasa amat bersyukur kerana usaha Wasiyyah selama 21 tahun kini bukan sahaja memanfaatkan umat Islam di Malaysia, malah mula memberi kesan di peringkat antarabangsa.

 

Semoga Allah menerima usaha ini sebagai salah satu amalan kebaikan kami di dunia untuk dibawa ke akhirat kelak.

 

Adakah perlu Wasiyyah memperoleh pensijilan antarabangsa?

Ada yang bertanya sama ada perlu Wasiyyah mendapatkan pensijilan Patuh Syariah peringkat antarabangsa ini memandangkan perkhidmatan hibah Wasiyyah telah terbukti apabila ratusan perintah penghakiman hibah diperoleh daripada Mahkamah Syariah di seluruh negara.

 

Sebenarnya, tiada keperluan undang-undang yang mewajibkan Wasiyyah mendapatkan pensijilan antarabangsa ini.

 

Namun, ia adalah sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan syarikat.

 

Apabila standard hibah harta bercagar Wasiyyah telah disahkan selari dengan standard AAOIFI, ia akan memudahkan kemasukan syarikat ke pasaran antarabangsa khususnya di negara Islam yang memegang ketat kepada piawaian tersebut.

 

Untuk makluman, AAOIFI ialah badan pengiktirafan standard operasi institusi kewangan Islam bertaraf global.

 

Cabaran sebenar baru bermula

Saya sedar cabaran di peringkat antarabangsa baru sahaja bermula.

 

Sebagaimana pengalaman bertahun-tahun berkongsi ilmu dan perkhidmatan dengan umat Islam di Malaysia, kitaran sama akan saya lalui di peringkat antarabangsa.

 

Sejak dua tahun lalu, saya telah berulang-alik ke Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye dalam usaha pengantarabangsaan ini.

 

 

Wasiyyah

 

Wasiyyah

 

 

Saya membentangkan kertas kerja serta mengadakan sesi perkongsian bersama pihak berautoriti, agamawan, ahli akademik dan institusi kewangan di negara-negara tersebut.

 

Saya kembali berdepan persoalan asas seperti adakah hibah melarikan diri daripada faraid dan tuduhan bahawa hibah ini haram.

 

Kali ini, cabarannya lebih besar kerana berhadapan dengan pengamal dan ahli akademik kewangan Islam dari pelbagai negara seperti Pakistan, India serta negara Arab lain.

 

Berbeza di Malaysia yang mempunyai corak pemikiran hampir seragam, peringkat antarabangsa lebih mencabar kerana latar belakang mazhab yang pelbagai.

 

Namun, saya yakin dengan niat yang betul untuk menyebarkan ilmu fiqh mawarith kerana Allah SWT, usaha ini akan dipermudahkan.

 

Selepas dua tahun, ada tanda-tanda pihak berautoriti di negara terbabit mula menerima pendekatan Wasiyyah.

 

Masalah harta pusaka yang berlaku di Malaysia turut wujud di negara-negara ini.

 

Apabila saya memberi taklimat terperinci mengenai perkhidmatan, operasi dan pengalaman Wasiyyah, mereka mula melihat perkhidmatan ini sebagai penyelesaian alternatif kepada masalah tersebut.

 

Lebih menarik, meskipun mazhab mereka berbeza, pihak berautoriti menyatakan kesediaan menerima pandangan mazhab lain sekiranya ia bermanfaat kepada masyarakat mereka.

 

Masih ada pihak di Malaysia yang berpegang pada isu asas hibah harta bercagar

Ketika usaha antarabangsa Wasiyyah mula diterima, masih ada segelintir pihak di Malaysia yang bergelut dengan isu asas mengenai hibah harta bercagar.

 

Ada yang beranggapan hibah ini tidak sah kerana hak milik harta masih belum berpindah memandangkan harta itu bercagar di bank.

 

Mereka juga berpendapat bahawa syarat ‘qabd’ tidak boleh dilaksanakan kerana harta tidak boleh dipindah milik kepada penerima hibah selagi ia masih bercagar.

 

Isu ini sebenarnya telah dijawab sejak 2017 apabila Wasiyyah menjalankan penyelidikan ilmiah secara mendalam.

 

 

bas

 

 

Penyelidikan ini diteruskan dengan kajian lain seperti jenis kontrak pembelian harta yang membolehkan harta dihibahkan serta pelbagai bentuk ‘qabd’ dalam Islam.

 

Hasil penyelidikan kami menunjukkan terdapat kontrak tertentu dalam muamalat yang membolehkan pemilikan harta berpindah kepada pembeli sekali gus membolehkan harta dihibahkan.

 

Sebaliknya, jika kontrak itu tidak memberi milikan, maka harta tersebut tidak boleh dihibahkan.

 

Selain itu, penyelidikan kami turut membuktikan bahawa ‘qabd’ tidak semestinya bermaksud pindah milik nama dalam geran.

 

‘Qabd’ boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti penyerahan kunci rumah, penyerahan geran, pengosongan rumah atau pembayaran bil utiliti oleh penerima hibah.

 

Semua bentuk penguasaan ini diiktiraf Mahkamah Syariah sebagai pelaksanaan ‘qabd’.

 

Bertindak segera

Saya seorang yang pragmatik. Pada saya, apa sahaja tindakan yang berada dalam ruang lingkup hukum syarak perlu dilaksanakan demi membantu umat Islam dalam isu pengurusan harta.

 

Kita boleh berdebat secara akademik, namun apa yang lebih penting ialah bertindak segera untuk mengatasi masalah harta pusaka yang semakin meruncing.

 

Umat Islam rugi apabila harta pusaka bernilai berbilion ringgit gagal diwariskan kepada generasi berikutnya.

 

Harta pusaka yang sangat bernilai ini sebenarnya merupakan aset penting yang boleh digembleng sebagai sumber ekonomi ummah.

 

Justeru, rancanglah harta anda bersama Wasiyyah untuk memastikan ia dapat diwariskan secara berkesan kepada waris yang berhak.

 

Wasiyyah sedia membantu insya-Allah. - DagangNews.com

 

Ariffin Sabirin
Tn Hji Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Kumpulan Wasiyyah