Tokoh ekonomi industri, Azahari Kudus bersama penulis mengadakan sesi perbincangan dengan pelajar Doktoral Business Administration (DBA) Azman Hashim International Business School, UTM pada minggu lalu mengenai transformasi pembangunan ekonomi Malaysia.
Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia telah melalui perjalanan pembangunan ekonomi yang luar biasa. Dalam tempoh lebih enam dekad, negara berjaya beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian dan komoditi kepada ekonomi yang lebih pelbagai, berasaskan perindustrian dan perkhidmatan.
Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil dasar pembangunan yang terancang, kepimpinan berwawasan serta keupayaan negara menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi global.
Namun begitu, cabaran pembangunan Malaysia hari ini jauh berbeza berbanding era awal kemerdekaan. Jika dahulu tumpuan utama adalah perindustrian, kini fokus perlu beralih kepada produktiviti, inovasi dan penciptaan pengetahuan.

Perkembangan ekonomi Malaysia boleh dijelaskan melalui Teori Dual-Sektor Arthur Lewis. Menurut Lewis, ekonomi membangun lazimnya terdiri daripada dua sektor utama, iaitu sektor pertanian tradisional yang mempunyai lebihan tenaga buruh dan produktiviti rendah, serta sektor moden yang menawarkan produktiviti dan pendapatan lebih tinggi.
Pertumbuhan ekonomi berlaku apabila tenaga kerja berpindah daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan. Perpindahan ini meningkatkan produktiviti keseluruhan ekonomi tanpa memerlukan pertambahan sumber yang besar.
Pengalaman Malaysia antara tahun 1970-an hingga 1990-an mencerminkan teori ini dengan jelas. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), pembangunan kawasan perindustrian, penubuhan Zon Perdagangan Bebas (FTZ), kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) serta strategi perindustrian berorientasikan eksport telah membuka peluang pekerjaan luas dalam sektor pembuatan.
Berjuta-juta rakyat Malaysia berpindah daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan di bandar. Perubahan struktur ini meningkatkan produktiviti negara dan mewujudkan pertumbuhan ekonomi pesat selama beberapa dekad.

Namun, seperti dihuraikan oleh Lewis, proses ini tidak boleh berterusan selama-lamanya. Apabila lebihan tenaga buruh di sektor pertanian semakin berkurangan, ekonomi akan mencapai apa yang dikenali sebagai Lewis Turning Point. Pada tahap ini, pertumbuhan tidak lagi boleh bergantung kepada perpindahan tenaga kerja semata-mata.
Malaysia kini berada dalam fasa tersebut. Sebahagian besar transformasi struktur ekonomi telah selesai, dan ruang untuk pertumbuhan melalui perpindahan tenaga kerja semakin terhad. Justeru, negara perlu mencari sumber pertumbuhan baharu yang lebih mampan.
Di sinilah Teori Pertumbuhan Solow menjadi relevan. Robert Solow menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi boleh dicapai melalui peningkatan modal dan tenaga buruh, namun kedua-duanya tertakluk kepada hukum pulangan berkurangan (diminishing returns). Setiap tambahan pelaburan akan menghasilkan pertambahan output yang semakin kecil.
Dalam konteks Malaysia, pertumbuhan selepas tahun 1990-an masih disokong oleh pelaburan infrastruktur, pembangunan bandar, teknologi import dan pengembangan industri. Namun, pulangan daripada pelaburan ini semakin berkurangan apabila ekonomi semakin matang.
Solow memperkenalkan konsep Produktiviti Faktor Menyeluruh (Total Factor Productivity, TFP), iaitu komponen pertumbuhan yang tidak dapat dijelaskan oleh pertambahan modal dan tenaga buruh. TFP merangkumi kemajuan teknologi, kecekapan pengurusan, inovasi, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan keberkesanan institusi.
Kajian pertumbuhan menunjukkan bahawa sepanjang tempoh perindustrian Malaysia, sekitar 70 hingga 80 peratus pertumbuhan ekonomi masih disumbangkan oleh faktor modal dan buruh, manakala sumbangan TFP kekal rendah berbanding sasaran. Ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi masih banyak bergantung kepada input, bukan kecekapan.

Keadaan ini menimbulkan risiko yang dikenali sebagai perangkap pendapatan sederhana (middle-income trap). Banyak negara berjaya mencapai status pendapatan sederhana melalui perindustrian, tetapi gagal melonjak ke tahap negara berpendapatan tinggi akibat kelemahan dalam inovasi dan produktiviti.
Perbandingan dengan Korea Selatan amat signifikan. Pada tahun 1970-an dan 1980-an, tahap pembangunan Malaysia dan Korea Selatan tidak jauh berbeza. Namun, Korea Selatan berjaya melonjak menjadi negara maju kerana memberi penekanan berterusan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan tinggi, pembangunan teknologi dan penciptaan harta intelek.
Kejayaan syarikat seperti Samsung, Hyundai dan LG bukan berlaku secara spontan. Ia hasil dasar kerajaan yang sistematik dalam membangunkan kapasiti teknologi tempatan, bermula dengan penyerapan teknologi asing sebelum beralih kepada penciptaan teknologi sendiri.
Hasilnya, TFP menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Korea Selatan. Pengalaman ini menunjukkan bahawa inovasi bukan kesan automatik daripada perindustrian, sebaliknya memerlukan komitmen jangka panjang, pelaburan besar dan sokongan institusi kukuh.
Dalam konteks Malaysia, Teori Pertumbuhan Endogen Paul Romer menawarkan hala tuju lebih sesuai untuk fasa pembangunan seterusnya. Romer berhujah bahawa pengetahuan dan idea merupakan sumber utama pertumbuhan ekonomi moden.
Berbeza dengan modal fizikal yang tertakluk kepada pulangan berkurangan, pengetahuan boleh menjana pulangan meningkat kerana ia boleh dikongsi, digunakan semula dan diperluas tanpa susut nilai ketara. Justeru, pelaburan dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan teknologi mampu menjana pertumbuhan berterusan.
Sehubungan itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) boleh dianggap sebagai permulaan transformasi kedua Malaysia. Jika transformasi pertama menumpukan kepada perindustrian, transformasi kedua berfokus kepada inovasi.

NIMP 2030 memberi penekanan kepada peningkatan kompleksiti ekonomi, automasi, pendigitalan, pembangunan pembuatan maju, pengukuhan rantaian bekalan tempatan, penciptaan harta intelek domestik serta peningkatan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Pendekatan ini mencerminkan pengiktirafan bahawa daya saing masa depan tidak lagi boleh bergantung kepada kos buruh rendah, tetapi mesti berasaskan produktiviti, inovasi dan kepimpinan teknologi.
Kesimpulannya, pembangunan ekonomi Malaysia boleh dilihat sebagai evolusi daripada Transformasi Lewis kepada Pertumbuhan Solow, dan seterusnya menuju Inovasi Romer. Transformasi pertama telah berjaya mengubah struktur ekonomi negara serta mengurangkan kemiskinan secara ketara.
Namun, transformasi kedua yang berasaskan pengetahuan, inovasi dan produktiviti masih berada pada peringkat pembangunan. Masa depan kemakmuran Malaysia bergantung kepada keupayaan menjadikan TFP sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi.
Kejayaan membina ekosistem inovasi kukuh, meningkatkan pelaburan R&D, memperkasakan modal insan dan memperkukuh institusi akan menentukan sama ada Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi yang mampan dalam dekad akan datang. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM









