Dituduh ‘Ayah Pin 2’, Kini Hibah Jadi Arus Perdana Perancangan Harta Islam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dituduh ‘Ayah Pin 2’, Kini Hibah Jadi Arus Perdana Perancangan Harta Islam

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Seramai 1,400 peserta menghadiri Konvensyen Hibah Antarabangsa 2026 yang diadakan pada 13 Jun 2026 lalu.

 

Para peserta terdiri daripada pengamal undang-undang, pensyarah universiti, pakar perundangan syariah dan sivil, majlis agama Islam negeri-negeri, syarikat amanah kerajaan dan swasta, pelajar universiti serta orang perseorangan.

 

Wasiyyah merupakan penaja utama konvensyen yang dirasmikan oleh Prof. Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

 

Seramai sembilan pembentang, termasuk saya sendiri, mempersembahkan pelbagai dapatan dan pandangan, manakala empat lagi ahli panel berkongsi perspektif dalam forum hibah serantau.


 

solar

 

solar

 


Apakah persamaan pembentangan semua 13 orang tersebut?

Kesemua 13 pakar berpengalaman ini, walaupun membentangkan pelbagai aspek teknikal berkaitan hibah seperti hukum syarak, undang-undang syariah dan undang-undang sivil, sebenarnya membawa satu mesej yang sama, iaitu hibah yang dilaksanakan dengan sempurna mengikut rukun dan syaratnya merupakan instrumen yang mampu mendamaikan waris.

 

Mengapa perdamaian waris menjadi keutamaan kepada semua penggerak industri hibah? Kerana kami semua tahu bahawa harta pusaka sering menjadi asbab waris berbalah dan berpecah-belah.

 

Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar dan waris berada dalam keterdesakan ekonomi, Wasiyyah, dan saya percaya pemain industri yang lain juga, sering berdepan kes apabila waris mencuba sedaya-upaya untuk memperoleh bahagian paling maksimum daripada harta pusaka yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka.

 

Keterdesakan inilah yang menyebabkan kes harta pusaka menjadi sangat tegang dan penuh emosi. Inilah juga mesej yang cuba disampaikan oleh Wasiyyah kepada masyarakat sejak 22 tahun lalu. Rancanglah harta anda semasa hidup melalui hibah, insya-Allah waris akan lebih mudah didamaikan.

 

Hibah sebagai jalan mendamaikan waris

Sekitar tahun 2017, saya dijemput sebagai panel dalam satu forum penambahbaikan undang-undang berkaitan hibah anjuran Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

 

Bersama-sama saya ketika itu ialah seorang tokoh lama dalam urusan harta pusaka di Malaysia yang sangat saya hormati.

 

Selepas pembentangan saya, tokoh berkenaan tampil membentangkan pandangannya dengan nada yang agak agresif terhadap hibah sebagai instrumen yang didakwa melarikan diri daripada faraid.

 

Beliau secara terang-terangan menyatakan bahawa penggunaan hibah seolah-olah menunjukkan kita tidak percaya kepada hukum Allah dan tidak mempercayai waris sendiri.

 

Mungkin beliau tidak menyedari bahawa pensyariatan hibah juga datang daripada Allah SWT. Seluruh dewan menjadi sunyi kerana tujuan utama forum tersebut diadakan adalah untuk membincangkan aspek teknikal undang-undang berkaitan hibah, namun hibah pula dijadikan sasaran kritikan.

 

Inilah antara kritikan paling hebat yang saya terima sejak awal penubuhan Wasiyyah pada tahun 2004. Sehingga hari ini, kritikan tersebut masih dilemparkan kepada saya.

 

Saya dilihat sebagai individu yang cuba mengajar masyarakat melarikan diri daripada hukum faraid melalui kaedah hibah.

 

Apabila hibah dituduh menentang faraid

Kenangan dilabel sebagai "Ayah Pin 2" kerana didakwa membawa "ajaran sesat" hibah masih segar dalam ingatan saya.

 

Apabila Wasiyyah memperkenalkan hibah harta bercagar pada tahun 2017, satu lagi gelombang kecaman melanda. Kami dituduh memperkenalkan hibah harta bercagar yang tidak patuh syarak semata-mata kerana mengejar keuntungan.

 

Sekali lagi, tuduhan membawa ajaran sesat dilemparkan kepada saya. Malah, Panel Syariah Wasiyyah turut terpalit apabila dituduh sebagai "Panel Syariah 25%" kerana kononnya menerima komisen tinggi sebagai balasan meluluskan hibah harta bercagar yang tidak patuh syariah.

 

Jauh di sudut hati, saya sebenarnya berasa simpati terhadap golongan ini. Setelah ilmu berkaitan hibah semakin berkembang dalam industri dan mereka mula membuka mata serta hati untuk mempelajarinya, mereka kini tidak lagi dapat menolak hakikat bahawa mereka juga sudah menjadi pengikut "Ayah Pin 2" ini.

 

Mereka juga kini mula mempromosikan hibah dan hibah harta bercagar kepada masyarakat, malah menjadikan perkhidmatan penyediaan serta pelaksanaan dokumen hibah sebagai sumber pendapatan utama. Mereka juga aktif menganjurkan pelbagai seminar, forum dan bengkel berkaitan hibah.

 

Saya tidak marah. Sebaliknya, saya berasa bangga.

 

Daripada kecaman kepada penerimaan

Golongan ini tersilap anggap apabila menyangka saya marah terhadap mereka kerana kesilapan melabel saya.

 

Hakikatnya, saya tidak pernah marah kerana saya faham bahawa mereka tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat penilaian. Mereka tidak terdedah kepada disiplin ilmu yang telah dilalui oleh Wasiyyah sepanjang 22 tahun ini.

 

Kepada golongan ini, saya ingin memaklumkan secara terbuka bahawa saya tidak pernah berdendam atau marah terhadap mereka. Saya sudah lama memaafkan mereka. Mereka tidak perlu mengelak, melarikan diri atau berasa bersalah apabila bertembung dengan saya di mana-mana majlis.

 

Saya juga tidak pernah menganggap mereka sebagai pesaing kerana masyarakat yang memerlukan bantuan terlalu ramai. Wasiyyah bersendirian tidak mampu memikul tanggungjawab ini.

 

Tiada dendam, hanya rasa syukur

Saya bersyukur kerana mereka kini menyedari bahawa instrumen hibah yang dipelopori Wasiyyah sejak tahun 2004 sebenarnya mempunyai fleksibiliti dan fungsionaliti yang berkesan dalam urusan penghartaan.

 

Mungkin pendekatan kita berbeza, tetapi objektifnya tetap sama.

 

Saya turut berbangga kerana mereka kini menjadi sebahagian daripada pejuang hibah dalam industri. Tahniah.


 

solar

 


Kemenangan untuk industri perancangan harta

Pada saya, kejayaan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) di bawah kepimpinan Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki, serta semangat kerja berpasukan seluruh pasukannya termasuk Law Society AIKOL UIA dalam menganjurkan Konvensyen Hibah Antarabangsa 2026 merupakan satu titik penting dalam perkembangan industri hibah negara.

 

Semangat untuk menuntut ilmu yang dipamerkan oleh kesemua 1,400 peserta yang hadir dari seluruh pelosok Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura menunjukkan bahawa hibah ialah instrumen yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat.

 

Sambutan ini sekali gus menolak pandangan sempit bahawa hibah merupakan jalan untuk melarikan diri daripada hukum faraid. Sesungguhnya ilmu milik Allah SWT ini sangat luas dan dalam banyak keadaan tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia.

 

Hibah ialah satu subdisiplin ilmu penghartaan dalam Islam yang luas dan komprehensif. Wasiyyah melalui proses penyelidikan ilmiah yang panjang dan menelan kos yang besar untuk memperoleh ilmu ini.

 

Proses verifikasi ilmu yang ketat juga telah kami lalui bagi memastikan hanya versi hibah yang patuh syariah pada standard tertinggi diperkenalkan kepada masyarakat.

 

Alhamdulillah, secara peribadi saya amat bersyukur kerana perjuangan panjang Wasiyyah selama 22 tahun dalam memperjuangkan hibah telah menjadi asbab industri ini bergerak ke hadapan.

 

Insya-Allah, apabila hibah diamalkan dengan baik, ia mampu menjadi faktor yang mendamaikan waris. Semoga Allah SWT menerima segala kerja keras ini sebagai sebahagian daripada amalan yang tidak terputus buat saya, Wasiyyah dan seluruh pejuang hibah di Malaysia. Aamin.... - DagangNews.com

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd