Kesedaran tentang keperluan hibah bersyarat semakin meningkat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kesedaran tentang keperluan hibah bersyarat semakin meningkat

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Saya menyorot penulisan sahabat saya, Dr Hj Razly Ramli di Dagang News tentang hibah bersyarat minggu lepas.

 

Sangat jarang seorang sarjana yang juga berperanan sebagai panel Syariah bank bersuara mengenai hibah bersyarat di khalayak umum. Tahniah Dr atas keberanian menongkah arus ini.

 

Kebanyakan ahli akademik tidak berani mengulas isu ini dari sudut praktikal kerana masih ada skeptisisme yang menebal dalam kalangan para ilmuwan dan pemain industri mengenainya.

 

Saya dapat merasakan mereka masih ‘cuak’ kerana bimbang dihentam industri apabila menyuarakan pandangan ini.

 

 

Iktisad
KLIK di sini untuk artikel penuh Hibah Bersyarat bukan pencabar faraid tetapi pelengkap keadilan


 

Wasiyyah dan penyelidikan ilmiah

Semenjak 2017, Wasiyyah sudah bergerak memperkenalkan hibah bersyarat kepada masyarakat selepas kami membuat penyelidikan ilmiah bersama Fakulti Pengajian Islam, UKM. Dapatan penyelidikan itu jelas menunjukkan bahawa hibah bersyarat dalam hukum syarak dibenarkan, namun tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

 

Dapatan penyelidikan kami juga menunjukkan bahawa terdapat keperluan mendesak dalam pasaran untuk pengenalan hibah bersyarat. Contohnya, hibah hartanah daripada seorang ayah kepada anak kandungnya.

 

Masalah pindah milik harta secara tradisional

Dalam amalan dan pengetahuan awam sebelum Wasiyyah memperkenalkan hibah bersyarat, apabila si ayah menghibahkan hartanahnya kepada anak, pindah milik hartanah itu di pejabat tanah mesti berlaku hari itu juga sebaik sahaja akad hibah disempurnakan.

 

Malah, ada pihak yang dengan tegas mengatakan bahawa hibah itu tidak sah jika pindah milik harta tidak berlaku.

 

Namun, banyak kes yang saya temui sepanjang 28 tahun dalam industri ini menunjukkan bahawa apabila hak milik telah berpindah milik kepada si anak, hartanah itu akhirnya dijual oleh si anak walaupun ayahnya masih hidup dan menetap di rumah itu.

 

Ketika itu, si ayah mahu menangis pun tidak berguna kerana hartanah sudah pun terjual. Kejadian seperti ini menyebabkan ibu bapa takut untuk membuat hibah (berserta pindah milik harta) kerana bimbang kepentingan mereka terjejas.

 

Peranan hibah bersyarat

Di sinilah aplikasi hibah bersyarat memainkan peranan. Sebaik rukun dan syarat hibah terlaksana, kedua-dua pihak bersetuju untuk mematuhi syarat tersebut.

 

Dalam kes di atas, syaratnya ialah si ayah mestilah dibenarkan untuk terus menetap di rumah itu selagi ada hayatnya atau, sekiranya harta itu menghasilkan pendapatan, si ayah boleh menikmati hasil tersebut selagi hayatnya ada.

 

Pindah milik hartanah tidak perlu berlaku sekarang, sebaliknya boleh dibuat pada bila-bila masa selepas rukun dan syarat hibah terlaksana.

 

Mahkamah Rayuan Syariah Perak dalam satu penghakiman pada 2021 telah memutuskan bahawa “proses pindah milik harta hanyalah satu urusan pentadbiran sahaja”.

 

Keabsahan hibah bersyarat dalam hukum syarak dan perundangan

Mahkamah Syariah dalam memutuskan keabsahan sesuatu hibah tidak pernah meletakkan syarat bahawa hibah wajib disertai dengan pindah milik harta dalam hak milik.

 

Di peringkat Wasiyyah, kami melihat bahawa pindah milik harta dalam hak milik akan mendedahkan pemberi hibah kepada pelbagai risiko, termasuk harta itu dijual seperti ulasan saya di atas.

 

Atas maslahah itu, hibah bersyarat dibangunkan oleh Wasiyyah supaya kepentingan pemberi hibah (ayah) terjaga. Panel Syariah Wasiyyah pada 2017 ketika membincangkan maslahah ini berpendirian bahawa hibah bersyarat boleh membantu menggalakkan ibu bapa untuk memberi hibah dalam keadaan kepentingan mereka terjaga.

 

Wasiyyah sendiri sejak beberapa tahun lepas telah berjaya mendapatkan beberapa perintah Mahkamah Syariah yang berkaitan dengan hibah bersyarat. Ini mengesahkan bahawa hibah bersyarat dibenarkan oleh hukum syarak dan boleh berkuat kuasa di Malaysia.

 

Ujian ilmiah, syariah dan perundangan

Keabsahan hibah bersyarat di Malaysia sebenarnya tidak boleh lagi dilihat sebagai isu pinggiran atau eksperimen terpencil. Ia telah melalui ujian ilmiah, syariah dan perundangan secara berperingkat:

 

  1. Dari sudut hukum syarak – Perbincangan hibah bersyarat bukanlah perkara baharu dalam khazanah fiqh Islam. Para fuqaha sejak dahulu telah membahaskan isu hibah mu‘allaqah dan hibah muqayyadah dengan pelbagai pandangan. Walaupun terdapat khilaf, sebahagian besar ulama membenarkan hibah yang disertai syarat selagi syarat tersebut tidak bercanggah dengan maqasid syariah, tidak menafikan pemilikan secara mutlak dan tidak menjadikannya sebagai helah.
     

  2. Dalam konteks Malaysia – Keabsahan hibah bersyarat tidak lagi bersifat teori semata-mata. Ia telah diiktiraf secara praktikal melalui keputusan Mahkamah Syariah. Beberapa perintah pengesahan hibah bersyarat yang diperoleh oleh Wasiyyah sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan bahawa Mahkamah menerima hujah syariah dan dokumentasi yang kukuh berkaitan hibah bersyarat.
     

  3. Dari sudut tadbir urus dan kawal selia – Hibah bersyarat yang dilaksanakan secara berhati-hati sebenarnya membantu menyelesaikan banyak masalah berkaitan harta pusaka. Dalam realiti masyarakat hari ini, banyak harta tidak boleh dipindah milik secara serta-merta atas sebab undang-undang sivil, pembiayaan bank atau sekatan tertentu. Tanpa mekanisme hibah bersyarat, harta-harta ini berisiko menjadi pusaka beku apabila berlaku kematian.
     

  4. Kebimbangan manipulasi atau penindasan waris – Isu ini sebenarnya boleh ditangani melalui reka bentuk instrumen yang patuh syarak, bukan dengan menolak konsep tersebut secara total. Di sinilah pentingnya peranan penyedia perkhidmatan yang berintegriti, panel Syariah yang berwibawa dan dokumentasi yang telus.

 

Satu ijtihad kontemporari

Saya berpendapat, sudah sampai masanya industri dan akademia berhenti melihat hibah bersyarat melalui lensa ketakutan dan prasangka. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai satu ijtihad kontemporari yang lahir daripada keperluan semasa, selari dengan prinsip jalbul masalih wa dar’ul mafasid.

 

Keberanian ilmuwan seperti Dr Hj Razly Ramli bersuara secara terbuka adalah langkah yang sangat signifikan. Ia membuka ruang dialog sihat antara teori dan amali, antara bilik kuliah dan realiti masyarakat.

 

Jika perbincangan hibah bersyarat terus dibungkam atas alasan “belum selamat”, maka yang rugi akhirnya adalah umat Islam sendiri yang terus berdepan masalah harta beku tanpa penyelesaian tuntas.

 

Menumpukan kepada pelaksanaan beretika dan patuh syarak

Dalam soal hibah bersyarat, persoalan sebenar bukan lagi “boleh atau tidak boleh”, tetapi bagaimana ia dilaksanakan dengan betul, beretika dan patuh syarak.

 

Saya menyeru semua pihak, baik di dalam ataupun di luar industri, untuk sama-sama mengembeling akal fikiran dan tenaga bagi membangunkan hibah bersyarat dengan lebih berkesan demi manfaat ummah dan generasi akan datang. Dan di situlah tanggungjawab kita bersama. - DagangNews.com