Jangan Tinggalkan Waris Anda Dalam Keadaan Miskin Meminta-minta Daripada Orang Lain | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jangan Tinggalkan Waris Anda Dalam Keadaan Miskin Meminta-minta Daripada Orang Lain

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Dalam artikel minggu lalu, saya menjelaskan bahawa walaupun seseorang telah menyediakan dokumen wasiat atau hibah sama ada melalui syarikat amanah, syarikat sendirian berhad, organisasi kerajaan ataupun individu, masih terdapat kos tertentu yang perlu ditanggung oleh waris apabila proses pelaksanaan dokumen tersebut bermula selepas kematian.

 

Kewujudan dokumen itu tidak bermakna harta yang ditinggalkan akan diterima oleh waris atau pihak yang dimaksudkan secara automatik.

 

Proses perundangan sama ada di Mahkamah Tinggi Syariah mahupun Mahkamah Tinggi Sivil tetap perlu dilalui sebelum waris boleh menerima harta tersebut.

 

Masih ramai masyarakat yang terkejut apabila mengetahui bahawa proses pengurusan harta pusaka atau pengesahan hibah memerlukan kos yang tinggi.

 

Ramai juga yang masih tidak mengetahui bahawa proses ini tidak semudah mencetak dan menandatangani dokumen semata-mata.

 

Kos kertas dan dakwat untuk mencetak dokumen mungkin hanya sekitar RM10 hingga RM20. Tetapi bagaimana pula dengan kos selepas kematian?

 

Kenapa masyarakat masih keliru?

Kenapa keadaan ini berlaku?

 

Pengalaman saya sepanjang 28 tahun sejak 1998 menunjukkan bahawa keadaan ini berpunca daripada satu doktrin yang begitu kuat dalam masyarakat hari ini iaitu, "Buat wasiat atau buat hibah, semua urusan selesai. Waris pun pasti akan menerima harta."

 

Sangat jarang saya mendengar ada pihak yang menjelaskan proses yang berlaku selepas kematian. Dalam urusan hibah misalnya, hampir tiada pihak yang menerangkan berapakah kos guaman untuk melantik peguam syarie bagi membawa kes ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan hibah.

 

Tiada juga yang menerangkan bahawa semakin banyak bantahan dan pertikaian daripada waris yang berhak, semakin panjang tempoh sesuatu kes itu berjalan, sekali gus menyebabkan kosnya semakin meningkat. Lebih-lebih lagi jika kes tersebut berlanjutan sehingga ke Mahkamah Rayuan Syariah.

 

Hampir tidak pernah juga masyarakat dididik mengenai fi pengurusan pusaka bagi mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian di Pejabat Pusaka Kecil ataupun Geran Probet, Letter of Administration dan Distribution Order di Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Sama seperti proses pengesahan hibah, semakin sengit sesuatu kes dipertikaikan oleh waris, semakin tinggilah kos yang perlu ditanggung.

 

Semua harta dibekukan

Masyarakat juga jarang didedahkan mengenai fi pembukaan fail, fi rampaian, fi carian hartanah serta pelbagai fi lain yang perlu dibayar.

 

Siapakah yang perlu mendahulukan semua kos ini?

 

Tentulah waris sendiri kerana ketika proses tersebut berjalan, semua harta si mati berada dalam keadaan beku. Agak-agaknya, adakah situasi ini mudah atau membebankan waris?

 

Waris juga tidak didedahkan bahawa selepas semua perintah mahkamah diperoleh, ia masih perlu didaftarkan di Pejabat Tanah bagi hartanah serta melalui proses tuntutan di agensi yang berkaitan. Semua ini juga melibatkan kos.

 

Namun doktrin yang masih dibawa sehingga hari ini ialah, "Buat wasiat atau buat hibah, semua urusan selesai dan kos membuatnya murah sahaja."

 

Inilah yang menyebabkan masyarakat menyangka kos yang perlu dibayar hanyalah kos menyediakan dokumen.

 

Kasihan waris yang akhirnya terpaksa menanggung beban tersebut.

 

Dalam satu kes yang saya temui, seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri yang merupakan suri rumah serta anak yang masih di bawah umur.

 

Beliau meninggalkan sebuah rumah bernilai RM800,000, sebuah kereta bernilai RM80,000 dan wang simpanan sebanyak RM20,000.

 

Dari sudut nilai, mungkin ramai menganggap keluarga ini tidak mempunyai masalah kewangan kerana memiliki hampir RM900,000 aset. Orang kaya, kata mereka.

 

Namun realitinya tidak begitu.

 

Rumah tidak boleh dijual tanpa melalui proses perundangan yang sempurna. Kenderaan tidak boleh dipindah milik tanpa dokumen yang diperlukan. Akaun bank pula dibekukan sebaik sahaja kematian disahkan.

 

Sedangkan anak-anak masih perlu meneruskan persekolahan walaupun ayah mereka sudah tiada.

 

Kos boleh mencecah ratusan ribu ringgit

Dalam satu kes lain, seorang hamba Allah membeli sebuah rumah di Damansara Jaya pada awal 1980-an dengan harga RM80,000.

 

Disebabkan pembangunan pesat kawasan tersebut, rumah yang kini berada di tengah bandar itu meningkat nilainya kepada RM2.2 juta.

 

Apabila beliau meninggal dunia, warisnya terpaksa menanggung perbelanjaan sehingga RM100,000 yang meliputi semua fi yang saya nyatakan tadi.

 

Tak percaya Wasiyyah urus secara percuma?

Saya menerima pelbagai maklum balas daripada pembaca selepas artikel minggu lalu.

 

Ramai yang terkejut apabila mengetahui bahawa Wasiyyah menguruskan hibah dan harta pusaka secara percuma.

 

Umum mengetahui bahawa memang terdapat kos yang terlibat dalam urusan ini. Jadi bagaimana pula Wasiyyah boleh melakukannya secara percuma?

 

Bukankah waris pelanggan kami juga perlu melalui semua proses perundangan yang saya jelaskan tadi?

 

Scam kah?

 

Jawapannya mudah.

 

"Ini betul punya, bukan cubaan."

 

Sejak awal penubuhan Wasiyyah, kami sedar bahawa inilah cabaran terbesar yang menyebabkan ramai waris menangguhkan urusan harta pusaka sehingga berbilion ringgit harta pusaka masih belum dituntut pada hari ini.

 

Mereka sebenarnya tidak mahu atau tidak mampu menanggung kos yang tinggi.

 

Doktrin bahawa "buat wasiat atau buat hibah, semua urusan selesai" tanpa mendedahkan masyarakat kepada risiko fi pengurusan yang tinggi menyebabkan ramai hanya memberi tumpuan kepada bagaimana harta mereka akan dibahagikan selepas kematian.

 

Bagaimana Wasiyyah mampu melakukannya?

Bagi membantu waris melalui proses pengesahan hibah dan pengurusan harta pusaka secara percuma, Wasiyyah, dengan bantuan enam orang Panel Syariah yang berpengalaman luas dalam hukum syarak serta pengurusan harta pusaka, dan bimbingan sembilan orang ahli Lembaga Pengarah yang berpengalaman dalam tadbir urus korporat, telah membangunkan satu konsep tabung tabarru' yang unik.

 

Di Malaysia, hanya Wasiyyah mengendalikan konsep tabung tabarru' seperti ini.

 

Semasa hidup, pelanggan kami membuat bayaran secara bulanan dan sebahagian daripada bayaran tersebut disumbangkan ke dalam tabung tabarru'.

 

Wasiyyah sebagai syarikat amanah berdaftar mempunyai kuasa di bawah Seksyen 8 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) untuk memegang tabung tersebut secara amanah bagi pihak pelanggan.

 

Di dalam kontrak antara Wasiyyah dengan pelanggan, akad ta'awun dimeterai sebagai persetujuan untuk saling membantu apabila berlaku kematian.

 

Bantuan tersebut diberikan dalam bentuk pembiayaan kos guaman bagi proses pengesahan hibah dan pengurusan harta pusaka.

 

Hasilnya, waris pelanggan yang menyertai tabung tabarru' menerima perkhidmatan Wasiyyah secara percuma.

 

Mereka bukan sahaja tidak perlu membayar fi kepada Wasiyyah, malah fi carian hartanah, fi pembukaan fail, fi perintah dan pelbagai fi lain juga ditanggung melalui tabung tabarru' tersebut.

 

Patuh Syariah dan undang-undang

Kontrak antara Wasiyyah dengan pelanggan telah diperhalusi serta diluluskan oleh Panel Syariah Wasiyyah dan dijamin mematuhi kehendak Syariah.

 

Pengoperasian tabung tabarru' pula dilaksanakan mengikut amalan terbaik tadbir urus korporat serta mematuhi semua undang-undang yang berkaitan.

 

Tabung tabarru' ini bukan merupakan pendapatan Wasiyyah.

 

Sebaliknya, ia diisytiharkan sebagai liabiliti, iaitu tanggungan yang dipegang Wasiyyah bagi pihak pelanggan untuk digunakan hanya bagi tujuan yang dipersetujui dalam kontrak.

 

Ia juga diaudit secara berasingan oleh juruaudit luar.

 

Anda mahu berjimat hari ini, tetapi waris menanggung beban kemudian?

Selepas saya menjelaskan secara panjang lebar mengenai persoalan kos ini, kini tibalah masanya anda bertanya kepada diri sendiri.

 

Adakah anda benar-benar berpuas hati kerana dapat berjimat hari ini dengan hanya membayar beberapa ratus ringgit untuk mendapatkan sekeping dokumen bernama wasiat atau hibah, sedangkan kos sebenar mencetak dokumen itu sendiri jauh lebih rendah?

 

Pada masa yang sama, adakah anda sanggup membiarkan waris menanggung segala beban kewangan untuk menguruskan harta pusaka anda selepas anda meninggal dunia?

 

Sebagai seorang ayah, saya telah membuat keputusan untuk memastikan waris saya tidak dibebankan dengan semua kos tersebut melalui penyertaan dalam tabung tabarru'.

 

Saya mahu mereka tenang mendoakan saya selepas kematian.

 

Bukannya berkumpul dan bercerita bahawa saya telah meninggalkan mereka dengan beban kewangan yang besar semata-mata untuk menguruskan harta pusaka saya. - DagangNews.com

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd