Ekonomi Durian: Kita Ada Buah, Tapi Pemasaran Lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Durian: Kita Ada Buah, Tapi Pemasaran Lemah

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Andai suatu hari apabila Menteri Kewangan berdiri di Dewan Rakyat lalu mengumumkan dengan wajah serius:

“Tuan Yang di-Pertua, KDNK negara meningkat 1% hasil jualan Musang King.”

 

Bunyinya seperti satira. Tapi di sebalik jenaka itu tersembunyi satu hakikat ekonomi.

 

Durian bukan lagi sekadar buah bermusim. Ia telah berubah menjadi komoditi tropika bernilai tinggi yang kini mencorakkan perdagangan serantau.

 

Pasaran Global: Durian Bukan Lagi Buah Pinggiran

Pada tahun 2023, nilai pasaran durian dunia mencecah AS$23.9 bilion. Menurut unjuran DataHorizzon, angka ini dijangka melonjak kepada AS$47.5 bilion menjelang 2032.

 

Dalam kalangan buah tropika, durian mencatat pertumbuhan terpantas. Ini bukti bahawa dunia bukan sahaja lapar, tetapi sedang membuka pintu seluasnya kepada buah dari Timur.

 

Namun, Malaysia yang merupakan tanah kelahiran Musang King hanya menyumbang 5% daripada pasaran eksport global. Pada tahun yang sama, eksport kita hanyalah 25,000 tan bernilai AS$260 juta.

 

Jauh ketinggalan berbanding Thailand dengan 1 juta tan bernilai AS$4 bilion dan Vietnam sebanyak 738,000 tan bernilai AS$3 bilion.

 

 

Xi

 

 

Kita Ada Buah, Tapi Dunia Tak Pilih Kita

Masalah Malaysia bukan pada buah, tetapi pada rangka. Kita memiliki klon terbaik, tetapi strategi paling lemah. Kita empunya Musang King, namun hanya berperanan sebagai tukang cerita dan bukan pelakon utama. Memiliki durian terbaik tanpa pelan tindakan ibarat menyimpan Ferrari yang hanya dipandu dalam bulatan kecil di halaman rumah.

 

Sementara itu, jiran-jiran telah lama membina lebuh raya dagangan durian yang menghubungkan terus ke pasaran China dan melintasi benua dengan penuh yakin.

 

Thailand menguasai pasaran kerana mereka membina rancangan sejak awal. Mereka merangka laluan eksport yang kukuh hampir dua dekad lalu, lengkap dengan rantaian bekalan yang efisien dan sokongan logistik bersepadu.

 

Vietnam pula bergerak pantas membina ekosistem eksport dalam tempoh kurang lima tahun. Malaysia masih teragak-agak antara nostalgia dusun warisan dan kilang pembungkusan yang belum sempurna.

 

Sementara jiran-jiran mengukur kejayaan berdasarkan angka dan sistem, kita masih mengukur durian melalui rasa dan emosi. Dalam ekonomi global, rasa enak tanpa skala tidak menjadikan anda pemain utama. Ia hanya menjadikan anda penonton tetap di tepi gelanggang yang semakin sempit.

 

Buahnya Harum, Sistemnya Lesu

Kelemahan utama Malaysia dalam industri durian bermula daripada skala pengeluaran yang terlalu kecil untuk membolehkan kita bersaing secara bermakna di peringkat antarabangsa. Purata hasil ladang durian kita hanya sekitar 5.5 tan sehektar, jauh di bawah potensi sebenar sekitar 13 tan.

 

Ini berpunca daripada model dusun kecil yang bergantung pada musim dan cuaca serta ketiadaan pelaburan dalam pertanian berskala besar. Tanpa integrasi teknologi moden dan sistem pengeluaran profesional, Malaysia tidak mampu memenuhi permintaan eksport secara konsisten.

 

Masalah kedua ialah kelemahan infrastruktur pasca tuai. Musang King ialah jenis durian yang sangat sensitif terhadap masa dan suhu. Untuk mengekalkan tekstur dan aroma, ia perlu sampai ke tangan pembeli dalam tempoh tidak lebih 48 jam selepas gugur.

 

Ini memerlukan pembekuan ultra-rendah, pengendalian cepat, dan sistem rantaian sejuk menyeluruh dari dusun ke pelabuhan. Tetapi hab pembekuan kita masih bersifat rintis dan tidak menyeluruh. Mustahil untuk bersaing dalam pasaran mewah seperti Dubai atau Shanghai jika kualiti produk kita tidak konsisten.

 

 

Xi

 

 

Malaysia juga terlalu bergantung kepada satu pasaran. Lebih 78% durian kita dieksport ke China. Kebergantungan ini mendedahkan negara kepada risiko luar seperti sekatan dasar, gangguan logistik atau perubahan selera pengguna.

 

Bila China batuk, kita demam. Pasaran seperti UAE, Kesatuan Eropah, dan Kanada masih belum diterokai secara serius. Dalam era perdagangan terbuka, kebergantungan kepada satu pintu keluar adalah satu bentuk kelemahan strategik.

 

Lebih membimbangkan, seluruh identiti eksport durian Malaysia terlalu tertumpu kepada Musang King. Klon-klon unggul lain seperti Black Thorn, Tekka dan D24 seolah-olah dilupakan. Jenis-jenis ini tidak diberikan penjenamaan, naratif, mahupun promosi. Sedangkan pengguna global mahu pilihan dan variasi, kita pula meletakkan semua harapan pada satu nama. Akibatnya, wajah durian Malaysia menjadi sempit dan peluang pasaran disia-siakan.

 

Akhir sekali, Malaysia terlalu lambat memasuki gelanggang eksport sebenar. Thailand telah lama menguasai eksport segar ke China, sedangkan Malaysia hanya memulakan langkah pada Ogos 2024.

 

Ketika jiran-jiran sudah menutup akaun jualan, kita baru membuka pintu. Dalam dunia perdagangan hari ini, siapa cepat dia dapat. Kita tidak boleh mengharapkan simpati pasaran hanya kerana kita pemilik asal Musang King.

 

Strategi Negara: Dari Dusun ke Diplomasi

Peluang untuk Malaysia bangkit semula dalam industri durian masih terbuka, tetapi ia memerlukan anjakan fikiran yang radikal. Kita mesti mula melihat durian bukan sekadar sebagai hasil pertanian, tetapi sebagai aset strategik negara. Jika kita serius mahu menjadi peneraju, pendekatan dasar tidak boleh lagi bersifat kosmetik. Ia perlu dirombak dari akar hingga ke dahan.

 

Sektor swasta berskala besar perlu digalakkan untuk memainkan peranan utama dalam pembangunan industri ini. Kerajaan boleh merangka insentif khas bagi menggalakkan penglibatan konglomerat dalam membina ekosistem durian nasional yang moden dan berdaya saing.

 

Ini termasuk pelaburan dalam automasi ladang, sistem pengesanan digital, dan pensijilan antarabangsa yang memenuhi standard pasaran premium.

 

 

Xi

 

 

Kejayaan dalam pasaran global juga menuntut naratif produk yang kukuh dan boleh dipercayai. Penjenamaan rasmi seperti “Musang King – Malaysia’s Best” perlu diwujudkan dan disokong dengan sistem jejak balik berasaskan kod QR serta pensijilan negara asal.

 

Di samping itu, jenama ini perlu di promosi secara agresif dalam ekspo perdagangan antarabangsa, bukan sekadar di pesta tempatan. Pasaran dunia hari ini tidak hanya membeli buah, mereka membeli cerita, reputasi dan keyakinan.

 

Malaysia juga perlu membina jaringan eksport yang lebih luas melalui perjanjian dua hala dan kehadiran aktif dalam forum perdagangan makanan eksotik. Durian bukan lagi sekadar hasil tani. Ia adalah senjata diplomasi ekonomi yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Bila Lagi Durian Nak Jadi Dasar?

Malaysia mesti keluar daripada sikap “kita ada rasa terbaik” kepada “kita ada sistem terbaik.”

 

Jika suatu hari nanti kabinet membincangkan Dasar Durian Negara, itu bukan lagi perkara pelik. Ia adalah petanda bahawa akhirnya kita memandang durian bukan sebagai durian semata-mata, tetapi sebagai satu instrumen ekonomi dunia. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Mohd Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.