Saya rasa sudah cukup banyak saya mengulas tentang isu hibah takaful yang dicabar itu. Selama beberapa minggu Malaysia kecoh dengan isu ini. Semua jawapannya sudah dihuraikan juga oleh pelbagai pihak. Setakar pemerhatian saya, ulasan-ulasan ini kebanyakannya adalah tepat.
Namun rasanya hanya saya sahaja yang mengulas dengan tegas bahawa antara punca kenapa isu hibah takaful terbatal ini berlaku ialah kerana waris terlepas pandang tentang isu URUSAN PENTADBIRAN PUSAKA.
Waris mungkin beranggapan sebaik sahaja dia menerima manfaat takaful itu maka semua urusan telahpun selesai.
Waris juga mungkin berfikiran bahawa URUSAN PENTADBIRAN PUSAKA ini tidak penting dan boleh ditangguh dahulu sehingga waktu yang sesuai pada masa hadapan. Yang paling penting kepadanya ialah wang tunai manfaat takaful itu sudahpun dikreditkan ke dalam akaunnya. Fikirnya keadaan ini sudah muktamad.
Sedangkan harta pusaka yang lain seperti rumah, kenderaan, akaun bank, akaun koperasi, saham amanah, ASB, ASN, akaun CDS dan yang lainnya juga perlu ditadbir. Bagaimana kita melalui proses PENTADBIRAN PUSAKA ini?
Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian perlu dipohon daripada Pejabat Pusaka Kecil jika harta simati bernilai kurang daripada RM2 juta manakala jika simati meninggalkan harta pusaka bernilai melebihi RM2 juta, Letter of Administration (jika tiada wasiat melantik wasi) atau Grant of Probate (jika ada wasiat melantik wasi) dan Distribution order perlu dipohon daripada Mahkamah Tinggi Sivil.

Di dalam proses permohonan untuk dokumen-dokumen ini pula, waris-waris yang sah mengikut hukum faraid perlu dikenal pasti dan mereka perlu bersetuju dengan pentadbir yang dilantik. Jika tiada persetujuan ini, Mahkamah Tinggi Sivil boleh membuat keputusan dilaantik pentadbir bersama (joint administrator).
Bagi kes di Mahkamah Tinggi Sivil yang mana simati sudah pun ada wasiat yang melantik wasi, jika ada sebarang pertikaian di antara waris-waris berkenaan isu wasi ini, maka perbicaraan tentang keabsahan wasiat itu perlu dijalankan sebelum Grant of Probate dikeluarkan.
Namun saya perlu indeminiti bahawa bagi kes hibah takaful terbatal ini, situasinya memang agak unik kerana balu sebagai waris mengikut hukum faraid tidak hadir perbicaraan Letter of Administration itu.
Rujukan saya bersama beberapa orang rakan yang fasih selok-belok Mahkamah juga mendapat respon bahawa kes ini agak unik.
Selain daripada urusan melantik pentadbir, semua maklumat harta pusaka simati juga perlu dikumpulkan untuk diserahkan bersama dalam permohonan berkenaan.
Bagi hartanah, carian rasmi di pejabat tanah berkenaan perlu dibuat. Jika simati meninggalkan tanah atau rumah di merata tempat di seluruh Malaysia, ini bermakna balu itu perlu pergi ke setiap pejabat tanah ini.
Namun hujah saya yang paling penting di sini ialah adakah balu yang kematian suami dan berada dalam keadaan emosi tidak stabil, mampu melalui semua proses teknikal perundangan di atas? Mampukah balu ini berurusan dan berkompromi dengan ibu bapa (jika ibu bapa suami masih hidup) atau adik-beradik suaminya (jika simati hanya meninggalkan anak perempuan sahaja dan bapanya telah meninggal dunia lebih awal daripadanya)
Sudut inilah punca masalah sebenar isu hibah takaful terbatal!

Atas sebab urusan PENTADBIRAN PUSAKA ini agak rumit, ramai waris melengah-lengahkan urusan ini. Ini jugalah punca kenapa kes hibah takaful terbatal itu berlaku.
Pihak yang tidak berpuas hati telah mengemukakan permohonan Letter of Administration bagi melantik pentadbir bagi keseluruhan harta pusaka simati dan memohon juga agar penamaan manfaat takaful itu dianggap sebagai wasi maka perlu dipulangkan kepada pentadbir untuk diagih semula waris-waris berhak mengikut hukum faraid.
Untuk pengetahuan umum, pentadbir yang dilantik bagi kes ini bukanlah balu. Balu tidak akan mampu menguruskan pentadbiran pusaka tanpa bantuan.
Pengalaman 27 tahun saya menunjukkan dengan jelas apabila seorang suami meninggal dunia, balu yang ditinggalkan memang akan terjejas emosinya. Bukan sahaja dia terkekang oleh tempoh eddah, dia juga akan memerlukan masa untuk menstabilkan diri bagi menerima hakikat bahawa dia perlu meneruskan perjuangan hidup tanpa suami di sisi.
Keadaan akan lebih mencabar sekiranya balu ini ditinggalkan juga dengan tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak yang masih di bawah umur 18 tahun. Ini bukan perkara yang mudah.
Wasiyyah membantu menyelesaikan URUSAN PENTADBIRAN PUSAKA.
Pada ketika inilah, balu itu memerlukan pihak profesional ketiga seperti Wasiyyah untuk membantunya melalui semua proses pentadbiran harta pusaka yang teknikal ini.
Kami akan memberikan penjelasan lengkap kepada semua waris bagi mengelakkan salah faham dan perbalahan. Kami juga akan membuat semua urusan pengumpulan dokumen di semua agensi berkenaan.

Istimewanya, bagi pelanggan Al-Wasitah kami, urusan ini akan kami lakukan secara PERCUMA bagi pihak waris-waris anda. Dalam keadaan biasa, waris-waris akan dikenakan caj beberapa peratus daripada nilai harta pusaka.
Caj ini sama ada perlu dibayar secara tunai oleh waris ataupun ditolak daripada harta pusaka simati. Namun di Wasiyyah, waris tidak perlu menanggung caj ini.
Setakat pengetahuan saya, sehingga ke hari ini hanya Wasiyyah sahaja syarikat amanah yang mempunyai model perkhidmatan ini. Lebih daripada 40,000 orang telah mendapatkan manfaaat Al-Wasitah.
Ini bermakna selepas mereka meninggal dunia, waris-waris mereka akan dibantu unuk melalui semua proses PENTADBIRAN PUSAKA ini secara PERCUMA tanpa terbeban.
Masyarakat perlu faham hanya apabila Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian (bagi kes di Pejabat Pusaka Kecil) atau Letter of Administration/Grant of Probate dan Distribution Order (bagi kes di Mahkamah Tinggi Sivil) telah dikeluarkan, maka barulah semua urusan PENTADBIRAN PUSAKA itu secara konklusif dianggap selesai. Barulah telah sah sepenuhnya semua harta pusaka itu milik siapa.
Di dalam artikel minggu ini, saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia untuk memahami kepentingan urusan PENTADBIRAN PUSAKA ini. Cukuplah negara dibebani dengan isu harta pusaka tertunggak berbilion ringgit banyaknya.
Cukuplah waris kerugian kerana harta pusaka terbeku ini tidak boleh digembleng potensi ekonominya. Cukuplah institusi kekeluargaan musnah kerana perbalahan tentang harta pusaka. Dapatkanlah manfaat Al-Wasitah hari ini supaya waris-waris anda tidak terbeban. - DagangNews.com









