​​​​​​​Zohran Mamdani dan Impian Melahirkan Pemimpin Muda Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Zohran Mamdani dan Impian Melahirkan Pemimpin Muda Malaysia

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

Seperti helaian sejarah yang berulang, saya pernah menaruh harapan pada nama-nama besar dunia yang mengilhamkan perjuangan dan keinsafan. Imran Khan, Muammar Gaddafi, Che Guevara, Hamka, Bacharuddin Jusuf Habibie, Joko Widodo, dan kini, dari seberang lautan, Zohran Mamdani di Amerika.

 

Mereka mewakili pelbagai wajah kepimpinan – seorang datang dari padang kriket, seorang lagi dari padang pasir revolusi, seorang membawa senjata idea, dan seorang menulis dengan tinta dakwah.

 

Namun yang mengikat mereka bukan pangkat, tetapi semangat dan keyakinan bahawa politik bukan sekadar kuasa, sebaliknya amanah untuk memperbetul neraca kemanusiaan.

 

Jejak Pemimpin Dunia: Cermin Harapan dan Kejatuhan

Imran Khan bagi saya ialah simbol keberanian untuk menukar gelanggang – daripada piala dunia ke pentas kuasa rakyat. Beliau cuba membina politik bermoral, namun dihalang oleh permainan realpolitik yang licik. Saya melihat perjuangannya seperti kisah seorang idealis yang menentang sistem lama; ia mengajar bahawa politik tanpa pengorbanan hanyalah lakonan.

 

Che Guevara pula legenda yang hidup dalam ingatan ramai. Wajahnya terpampang di dinding, tetapi semangatnya ialah penentangan terhadap ketidakadilan ekonomi. Dia bukan pejuang kuasa, tetapi pejuang nilai – seorang doktor yang menukar stetoskop kepada senjata demi menyembuhkan luka dunia. Namun sejarah turut mengingatkan bahawa idealisme tanpa kebijaksanaan boleh menumpahkan darah yang sia-sia.

 

Muammar Gaddafi lain pula kisahnya. Dari revolusi ke tirani, beliau membuktikan kuasa yang tidak dipantau boleh menjadi racun kepada rakyat sendiri. Dari Hamka saya belajar makna kepimpinan berjiwa, berakar dalam akhlak dan ilmu. Daripada Habibie pula saya pelajari teknologi dan sains juga cabang ibadah jika diurus dengan niat membangunkan bangsa.

 

Kini, saya melihat sinar baharu pada sosok Zohran Mamdani, pemimpin muda Amerika yang bukan datang daripada keturunan elit, tetapi rakyat biasa. Anak kepada sarjana Mahmood Mamdani dan pengarah terkenal Mira Nair, Zohran muncul sebagai suara progresif yang membela pekerja gig, pemandu Uber, penyewa rumah kecil, dan rakyat marhaen kota New York.

 

Beliau membawa semangat baharu dalam politik moden – politik empati dan keadilan sosial. Saya kagum melihat bagaimana seorang muda menggugat sistem kukuh, bukan dengan amarah, tetapi dengan dasar yang bernas serta keberanian moral.

 

Jika dunia Barat mampu melahirkan Zohran, saya tertanya-tanya, bilakah Malaysia akan menampilkan pemimpin muda yang setara – bukan sekadar petah berpidato, tetapi membawa pemikiran terserlah dan jiwa tulus.

 

Politik Malaysia: Di Ambang Kelesuan dan Kejenuhan

Malaysia, tanah air yang saya cintai, pernah mempunyai pemimpin karismatik, tetapi kini politik kita semakin letih – keletihan moral dan keletihan idea.

 

Yang lama masih berpegang pada kuasa, yang muda pula takut menanggung risiko untuk jujur. Retorik perpaduan berulang setiap musim pilihan raya, tetapi realitinya jurang sosial dan ekonomi antara kaum semakin luas.

 

Rakyat muak dengan politik identiti yang memperalatkan kaum demi undi. Sentimen perkauman, yang sepatutnya menjadi sejarah, kini muncul semula dalam bentuk baharu melalui media sosial, bisikan ekonomi dan dasar yang gagal menangani ketidaksamaan sebenar.

 

Ketidakseimbangan Ekonomi: Luka Sosial yang Dalam

Saya memerhati data yang membimbangkan. Menurut laporan Bank Dunia 2022, 10% golongan terkaya di Malaysia menguasai lebih 70% kekayaan negara, sementara golongan bawah 40% hanya memiliki 8%. Jurang ini bukan sekadar angka, tetapi luka sosial yang semakin dalam.

 

Lebih menyedihkan, dalam konteks pemilikan ekonomi, orang Melayu dan Bumiputera masih jauh tertinggal. Pegangan ekuiti korporat Bumiputera kini dianggarkan kurang daripada 20%.

 

Jika ditolak pelaburan melalui agensi kerajaan seperti MARA, PUNB atau Khazanah, angka sebenar individu Melayu yang memiliki ekuiti dalam pasaran modal jauh lebih rendah. (Utusan, 2024)

 

Dalam laporan KWSP pula, hampir 70% pencarum Melayu mempunyai simpanan di bawah RM10,000 – angka yang menakutkan jika difikirkan sebagai persediaan hari tua. (The Coverage, 2024)

 

Realitinya, yang kaya terus menambah empayar tanpa batas, manakala majoriti Melayu terus hidup dalam kitaran gaji rendah, hutang isi rumah dan peluang sempit. Keadaan ini mencetuskan rasa marah yang tidak dinamakan, satu bentuk “rasis ekonomi” bukan kerana benci kaum lain, tetapi kerana rasa terpinggir di tanah sendiri.

 

Pemimpin Baharu: Harapan dan Keberanian

Inilah waktunya Malaysia mencari pemimpin baharu yang berani mengubah arah, bukan sekadar menyambung legasi lama, tetapi membina paradigma baru.

 

Saya tidak mahu lagi mendengar janji “memperkasakan Bumiputera” tanpa pelan yang jelas. Pemimpin yang ada kini telah melepasi tarikh luput.

 

Saya mahu pemimpin yang sedar keadilan ekonomi mesti berakar pada akses sebenar terhadap peluang, bukan sekadar pemberian bantuan.

 

Pemimpin baharu mesti:

  1. Berani menilai semula sistem ekonomi dualistik yang memihak kepada kroni.

  2. Mewujudkan dasar keusahawanan Melayu yang progresif, berasaskan pengetahuan dan teknologi, bukan hanya bergantung pada dana.

  3. Menghapuskan rasuah sistemik yang selama ini mencuri peluang rakyat.

  4. Membina literasi kewangan dan budaya pemilikan aset dalam kalangan Melayu agar mereka bukan sekadar bekerja dalam sistem, tetapi memiliki sebahagiannya.

  5. Menanam budaya merit, inovasi dan tanggungjawab, kerana bangsa berjaya bukan yang diberi, tetapi yang mencipta.

 

Generasi muda harus menjadi seperti Zohran Mamdani – berani mencabar sistem lama dengan akal, etika dan empati.

 

Saya ingin melihat anak muda Melayu memimpin tanpa takut kehilangan sokongan kerana bercakap benar. Saya ingin mereka membawa idea ekonomi inklusif, bukan untuk menyingkir kaum lain, tetapi memperkukuh diri agar dapat bersaing setara.

 

Masa untuk Malaysia miliki pemimpin muda

Sebagai warga emas, saya tidak lagi berpolitik, namun hati masih berdegup setiap kali mendengar kata “reformasi.” Saya telah melalui zaman pemimpin hebat dan pemimpin culas, zaman keyakinan dan zaman penipuan. Namun saya tetap percaya setiap bangsa memiliki saat kebangkitan.

 

Bagi Malaysia, kebangkitan itu tidak akan datang melalui nostalgia masa lalu, tetapi melalui pemimpin muda yang membawa cahaya akal dan empati – yang menolak rasisme, menggantikannya dengan keadilan sosial; yang membina kekuatan bangsa tanpa menindas bangsa lain; yang memperjuangkan ekonomi rakyat bukan untuk statistik, tetapi untuk kehidupan yang lebih bermaruah.

 

Jika suatu hari nanti Malaysia melahirkan pemimpin yang menyatukan kejujuran seperti Hamka, keberanian seperti Che, idealisme seperti Imran, ketekunan seperti Habibie, kesederhanaan seperti Jokowi, dan kebijaksanaan sosial seperti Zohran Mamdani – maka saya tahu perjuangan panjang bangsa ini akhirnya menemui sinar paginya.

 

Dan pada hari itu, saya, yang kini duduk menatap langit petang, akan tersenyum lega – kerana fajar yang saya tunggu sepanjang hayat akhirnya menyingsing di tanah yang saya cintai. - DagangNews.com