KUALA LUMPUR 1 Ogos - Organisasi Entiti Vape Malaysia atau MOVE kecewa terhadap pembentangan Akta Kawalan Tembakau dan Rokok 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rakyat.
Akta yang juga dikenali sebagai Generation End Game (GEG) iaitu larangan untuk mereka yang lahir bermula tahun 2007, untuk menggunakan atau memiliki rokok dan semua produk tembakau yang lain termasuk vape telah dibentangkan di Parlimen, minggu lepas.
"Langkah itu jelas menampakkan pendirian KKM yang tidak mengambil kira pandangan dan kegusaran pengguna-pengguna vape yang walaupun setelah kami menyatakan pandangan kami secara terbuka kepada KKM sebelum ini.
"Kajian saintifik telah terbukti menunjukkan bahawa alternatif kepada produk tembakau seperti vape adalah lebih selamat dan berupaya membantu pengguna untuk berhenti merokok.
"Selain daripada faktor kesihatan, pertambahan kepada penggunaan vape juga adalah didorong oleh harga rokok yang sangat tinggi di Malaysia.
"Rakyat kini sudah sekian lama terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, dan dengan mengawal selia produk alternatif tembakau seperti vape sama seperti pengawalseliaan rokok, ia semestinya akan menambahkan kesengsaraan rakyat," kata MOVE dalam satu kenyataan.
Menurut MOVE, pihaknya juga yakin sekiranya Akta ini diluluskan, akan ada pertambahan penggunaan rokok seludup.
"Seperti yang kita sedia maklum, rokok-rokok seludup ini harganya jauh lebih murah dan boleh dibeli dengan mudah. Bahkan, cara pembuatannya juga diyakini tidak memenuhi standard pembuatan rokok.
"Pendapatan Kerajaan juga akan pasti terjejas berikut dengan teruk dengan penularan rokok seludup di pasaran negara kita," kata pertubuhan itu.
Di samping itu, Akta ini jelas tidak mengendahkan langsung hak pengguna untuk memilih gaya hidup mereka sendiri.

"Justeru, kami amat berharap agar Ahli Parlimen mendengar rayuan dan rintihan kami.
"Kami menyokong jika langkah GEG dihadkan hanya untuk rokok biasa dan kami bersetuju industri vape ini memerlukan regulasi, namun suka untuk kami menegaskan bahawa kami sebulat suara menolak sekeras-kerasnya cadangan untuk vape dan produk alternatif rokok lain daripada menjadi sebahagian daripada GEG.
"Jika Kerajaan Keluarga Malaysia benar-benar memahami keperitan kami, ambil kira pandangan kami dalam merangka dasar dan jangan memandang sinis pandangan kami.
"Kerajaan perlu bertanggjawab atas segala keputusan yang akan diputuskan kelak. Jangan sampai Malaysia terus dikenali sebagai sebuah negara yang
tidak mengamalkan prinsip demokratik yang terpimpin," kata MOVE.
MOVE adalah sebuah organisasi yang memberikan banyak faedah kepada kira-kira 52,000 ahli yang ditubuhkan dengan tujuan untuk mengawal selia industri vape Malaysia. Mewujudkan kesedaran umum dan mendidik masyarakat umum tentang alternatif untuk merokok seperti vape dan produk tembakau yang dipanaskan
serta memupuk etika yang betul dalam kalangan pengguna. - DagangNews.com








