KAB, UNITEN jalin kerjasama memperkasa sektor kejuruteraan dan tenaga tempatan | DagangNews Skip to main content

KAB, UNITEN jalin kerjasama memperkasa sektor kejuruteraan dan tenaga tempatan

(Dari kiri) Datuk Lai Keng Onn, Datuk Dr Ong Peng Su, Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr Noor Azuan Bin Abu Osman dan Ketua Pegawai Operasi UNITEN, Prof. Prof Ts. Dr Mohd Ezanee Rusli dalam majlis menandatangani MoU.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk menyediakan peluang pertukaran kepakaran, pengalaman dan kemahiran.

 

Perkongsian tersebut dijalin bagi mewujudkan kerjasama strategik bagi kepentingan dan faedah bersama, serta untuk pembangunan sektor kejuruteraan dan tenaga negara.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, KAB berkata perkongsian itu adalah untuk menggalakkan pelbagai aktiviti, termasuk meneroka, membincang, dan merundingkan penajaan pelajar tempatan dalam program Ijazah Sarjana Muda.

 

Selain itu, kerjasama ini akan mewujudkan pengaturan kerjasama untuk khidmat perundingan dan penyelidikan yang disediakan oleh pakar UNITEN, membangun dan menilai kurikulum yang sejajar dengan industri, dan mempromosi aktiviti dan inisiatif KAB kepada pelajar dan kakitangan UNITEN.

 

MoU tersebut berkuat kuasa mulai 25 Mei 2023 untuk tempoh lima tahun.

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Bin Abu Osman dan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KAB, Datuk Dr Ong Peng Su yang turut disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan KAB di UNITEN, Datuk Lai Keng Onn.

 

Peng Su berkata MoU yang dimeterai itu memulakan perjalanan transformasi ke arah memajukan pembangunan sektor kejuruteraan dan tenaga di dalam negara.

 

“Melalui perkongsian ini, objektif utama KAB adalah meningkatkan peluang pendidikan bagi pelajar berkelayakan dan untuk mencapai matlamat ini, kumpulan komited untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar kejuruteraan UNITEN untuk meringankan beban kewangan dan membolehkan pelajar mengejar aspirasi akademik mereka tanpa kekangan,” katanya.

 

Keng Onn menambah, “Kami menjangkakan perkongsian ini membawa impak positif kepada kedua-dua pihak serta sektor kejuruteraan dan tenaga di Malaysia kerana ia menyediakan platform untuk mengakses pendidikan berkualiti, bimbingan dan peluang pekerjaan.” -DagangNews.com