Juwai IQI kembang perniagaan teknologi hartanah di Kemboja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juwai IQI kembang perniagaan teknologi hartanah di Kemboja

Daniel Ho (kiri) bertukar dokumen dengan Chandy Mann sambil disaksikan Gobind Singh pada majlis di Phnom Penh, 12 Mac lalu.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Mac - Juwai IQI akan mengembangkan operasi perniagaan teknologi hartanahnya di Kemboja melalui pembangunan Taman Teknologi Tinggi Kemboja-Malaysia-China di Wilayah Kandal.

 

Peluang tersebut diusahakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi pemeteraian memorandum persefahaman antara Juwai IQI dengan Premium Housing Group dari Kemboja sempena Forum Kerajaan Digital di Phnom Penh, 12 Mac lalu.

 

MoU itu ditandatangani oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpula Juwai IQI, Daniel Ho manakala Premium Housing diwakili Chandy Mann sambil disaksikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

 

Ho berkata, taman perindustrian itu merupakan pembangunan bertaraf dunia yang terletak 10 kilometer dari bandar Phnom Penh dan bakal dilengkapi infrastruktur terbaik termasuk dua jaringan lebuh raya.

 

Katanya, taman perindustrian berdekatan sedia ada menyaksikan beberapa jenama global sudah bertapak di situ seperti Uniqlo.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IQI Global antara tiga syarikat Malaysia meterai MoU projek di Kemboja menerusi inisiatif MDEC 

 

Menurutnya, Juwai IQI mempunyai matlamat mewujudkan ekosistem berteknologi tinggi yang mampan untuk syarikat pelbagai negara berkembang maju dan dapat memanfaatkannya ke dalam pasaran ASEAN yang menguntungkan.

 

"Kumpulan ingin memanfaatkan permintaan sedia ada daripada syarikat yang mencari lokasi berhampiran pengeluar yang sudah berada di kawasan itu.

 

"Peringkat pertama taman teknologi tinggi baharu itu akan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) AS$300 juta merangkumi sehingga 100 hektar atau 1 kilometer persegi.

 

"Fasa seterusnya akan diperluaskan kepada 2,000 hektar atau 20 kilometer persegi," katanya.

 

Juwai IQI adalah salah satu syarikat teknologi Malaysia yang bergerak di bawah program Pusat Kecemerlangan Pengasas (FOX) MDEC.

 

MDEC telah menyediakan platform Juwai IQI untuk bekerjasama dengan syarikat di rantau ini.

 

Jelas Ho, pihaknya berharap taman perindustrian ini akan menjadi hab industri berkembang maju dalam tempoh lima tahun akan datang kepada pemain industri bernilai tinggi tempatan dan global.

 

Katanya, kumpulan juga akan menubuhkan hab pendidikan vokasional TVET bertaraf dunia untuk pekerja Kemboja supaya mereka boleh mempelajari kemahiran seiring dengan kehendak semasa.

 

Sehubungan itu, kata Ho, perkongsian awam-swasta akan diusahakan yang membawa bersama industri, pengawal selia dan pembuat dasar untuk memudahkan kejayaan perniagaan yang menduduki taman teknologi itu termasuk pekerja mereka.

 

"IQI dan syarikat induk kami, Juwai IQI juga akan membantu membawa penyewa pembuatan ke taman itu melalui platform kami.

 

"Pusat perkhidmatan ini yang memudahkan pelaburan rentas sempadan dan pembangunan untuk pelanggan korporat, terutamanya dari Malaysia, China dan global," ujarnya.- DagangNews.com