KUALA LUMPUR 12 Mac - IQI Global antara tiga syarikat Malaysia yang terlibat menandatangani memorandum persefaham (MoU) dengan syarikat Kemboja sempena Forum Kerajaan Digital di Phnom Penh yang melibatkan Kementerian Digital dan agensinya baru-baru ini.
Menerusi MoU itu, IQI Global dan Kumpulan Perumahan Premium dari Kemboja menjalinkan kerjasama bagi menubuhkan Taman Teknologi Tinggi Kemboja-Malaysia-China (CMC) di Wilayah Kandal.
Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kerjasama syarikat dua negara itu berfokuskan pada memacu industri berteknologi tinggi dalam IT, bioteknologi, sains hayat dan pembuatan yang bertujuan mewujudkan rantaian bekalan yang mampan.
"Inisiatif ini termasuk menubuhkan hab TVET dan latihan untuk kira-kira 1.5 juta pekerja muda Kemboja," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut MDEC, delegasi Malaysia ke forum selama tiga hari itu diketuai Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Katanya, penglibatan Malaysia dalam forum berkenaan dapat mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan meneroka peluang untuk pertumbuhan dan pembangunan bersama dalam ekosistem digital.
"DGF 2024 ialah platform untuk penggubal dasar, peneraju industri dan pakar untuk terlibat dalam perbincangan bernas tentang memanfaatkan teknologi digital untuk tadbir urus yang cekap.
"Dengan tumpuan untuk berkongsi amalan terbaik, penyelesaian inovatif dan inisiatif kerjasama, forum itu menyediakan peluang unik untuk Malaysia dan Kemboja untuk meningkatkan keupayaan digital mereka," jelasnya.
Kata MDEC, sempena lawatan itu, syarikat Malaysia dan Kemboja mengadakan majlis pertukaran dokumen perniagaan bagi meletakkan asas untuk kerjasama masa depan.
Majlis tersebut dianjurkan oleh MDEC dan disaksikan oleh Gobind Singh dan Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, Duta Besar Malaysia ke Kemboja.
Selain IQI Global, dua lagi syarikat Malaysia yang terlibat dalam pertukaran dokumen itu ialah CTAPPS MSC Sdn Bhd dan Provintel Technologies Sdn Bhd.
CTAPPS MSC terlibat dengan Paxxa Mobile Solutions Co. Ltd. dari Kemboja berhubung kerjasama penyediaan penyelesaian keselamatan pintar manakala Provintel Technologies Sdn Bhd bekerjasama dengan Cellcard dari Kemboja.- DagangNews.com








