JOHOR BAHRU 30 Mei – Johor Port Berhad, ahli Kumpulan MMC, menyaksikan eksport sulung tempurung biji sawit bersijil FGV Palm Industries Sdn Bhd (FGVPI) ke Jepun, baru-baru ini.
Acara bersejarah yang diadakan di Johor Port menandakan kerjasama antara FGVPI dan GBK International Sdn Bhd (GBKI) serta juga menyerlahkan peranan strategik Johor Port dan GBKI dalam memudahkan perdagangan PKS antarabangsa dan menyokong inisiatif lestari.
Eksport ini cukup bermakna berikutan adanya Sijil Golden Green Label (GGL) yang berprestij oleh FGVPI baru-baru ini, yang memudahkan pengimportan PKS ke Jepun.
Pengiktirafan ini menekankan komitmen teguh FGVPI terhadap amalan Lestari dan mesra alam, menetapkan standard tinggi untuk kualiti dan kelestarian produk mereka.
Golden Green Label dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria ketat untuk kelestarian, pengurusan alam sekitar, dan tanggungjawab social.
Pematuhan FGVPI terhadap piawaian tinggi ini mencerminkan dedikasi mereka untuk memelihara alam sekitar sambil menghasilkan produk minyak sawit berkualiti tinggi.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad Md Derick Basir dan dihadiri oleh Ketua Produk Sampingan FGVPI, Suffian Azman; Norzaidey Jelani dari Ibu Pejabat FGVPI, Pengarah GBKI, Louis Low, dan Rafizal Esmail dari Johor Port bersama wakil-wakil lain dari syarikat masing-masing, pemegang kepentingan industri dan pegawai Kerajaan.
Penghantaran sulung ini bukan sahaja menandakan satu pencapaian penting bagi FGVPI tetapi juga menekankan keupayaan Johor Port sebagai Pelabuhan Pelbagai Guna gerbang Selatan dan kepakaran GBK International dalam perkhidmatan Pergudangan dan pembersihan.
Md Derick Basir berkata, tempurung biji sawit adalah sebahagian daripada kargo pukal kering Johor Port dan tahun 2024 kelihatan berpotensi bagi kargo pukal kering, dengan peningkatan sebanyak 8% (YTD) sehingga Mac 2024 berbanding tahun sebelumnya (YoY).
"Pada tahun 2024, kami yakin dapat mengendalikan 15% lebih banyak jumlah kargo pukal kering berbanding tahun 2023.
"Kami berbangga menyokong FGV Palm Industries dalam perjalanan kelestarian mereka dan mengharapkan lebih banyak Kerjasama seperti ini yang memacu pertumbuhan ekonomi dan pengurusan alam sekitar,” tambahnya lagi.
“Dengan 5 barisan pembersihan PKS, pengalaman luas GBKI dalam pengendalian PKS dan rangkaian kukuh kami di pasaran Jepun akan dapat menyokong FGVPI dalam mengurus dan memasarkan PKS di Johor Port,” kata Louis Low, Pengarah GBK International Sdn Bhd.
FGVPI menyasarkan dua penghantaran sebanyak 20,000 tan metrik (MT) PKS bersijil setiap bulan ke Jepun, memperkukuhkan komitmen mereka untuk memenuhi permintaan antarabangsa dengan produk lestari.
Sasaran bercita-cita tinggi ini selaras dengan strategi FGVPI untuk mengembangkan kehadiran pasaran mereka dan menyumbang kepada penyelesaian tenaga boleh diperbaharui global, memimpin inisiatif “Waste to Worth; Harmonising Palm Biomass Value for a Sustainable Future” untuk meningkatkan pasaran Biomass global. - DagangNews.com