KUALA LUMPUR 3 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) positif terhadap prospek Sime Darby Berhad, disokong oleh segmen perindustrian kukuh kumpulan yang berterusan, terutamanya di Australia, dengan buku pesanan RM4.7 bilion.
Menurut firma penyelidikan itu, permintaan untuk jentera berat perlombongan kekal teguh dalam segmen pasaran terbesar kumpulan itu di Australia, disokong oleh harga arang batu metalurgi yang sangat menguntungkan pada AS$220 sehingga AS$250 setiap tan (kira-kira RM1,000 sehingga RM1,138).
Firma itu berkata buku pesanan terkini pada akhir Mac 2023 tetap pada paras tertinggi RM3.3 bilion (daripada jumlah keseluruhan RM4.7 bilion).
“Pasaran Malaysia telah menyaksikan beberapa pembelian dalam buku pesanan sejak akhir Disember 2022, namun pihak pengurusan telah memberi amaran bahawa pasaran kekal sederhana.
“Pasaran China juga masih perlahan dan berdaya saing tinggi, dengan pengeluar peralatan asli (OEM) domestik besar yang lain seperti XCMG, Sany dan Zoomlion,” katanya dalam nota penyelidikan harini.
Walaupun segmen motor China dijangka terus lemah (disebabkan oleh persaingan diskaun harga) dalam tempoh terdekat, HLIB berkata permintaan untuk pasaran lain kekal menggalakkan dengan margin yang mampan.
HLIB berkata Sime Darby akan terus memanfaatkan momentum teguh segmen perindustriannya, didorong oleh perlombongan di Australia.
Firma itu turut menjangkakan hasil dividen berterusan sebanyak 5.5% sehingga 6.4% bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25), manakala pelupusan Ramsay Sime Darby Healthcare Sdn Bhd (RSDH) mungkin memberikan dividen khas sehingga 40 sen sesaham.
HLIB telah mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) pada RM2.70 sesaham.
Pada waktu penulisan, saham Sime Darby kekal pada RM2.18 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM14.9 bilion. - DagangNews.com








