Hexagon sedia sistem latihan mesin bantu pengeluar merapatkan jurang kemahiran di lapangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hexagon sedia sistem latihan mesin bantu pengeluar merapatkan jurang kemahiran di lapangan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Julai - Hexagon telah membangunkan HxGN Machine Trainer yang menyediakan simulator fizikal tepat dan interaktif untuk membantu pengeluar melatih pengendali mesin dan pakar metrologi untuk menggunakan peralatan.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Hexagon berkata sistem latihan mesin itu kini tersedia di seluruh dunia, di mana ia menggabungkan perkakasan yang mereplikasi mesin secara realistik dengan simulasi pembuatan dan alatan perisian pengendali.

 

Ini akan membantu pelatih memperoleh pengalaman praktikal tanpa risiko kerosakan pada peralatan yang mahal, membazir bahan atau menyekat sumber pengeluaran berharga, ujarnya.

 

Menurut syarikat itu, sistem tersebut telah dibangunkan untuk membantu syarikat dan institusi pendidikan menarik dan melatih pengendali mesin generasi akan dating, sesuatu yang amat penting terutama ketika industri menghadapi kekurangan kemahiran dan buruh.

 

“Kekurangan kemahiran ini, ditambah lagi dengan hakikat bahawa melatih pekerja menggunakan mesin kawalan berangka komputer (CNC), atau dengan alat yang serupa, adalah mahal, perlahan dan terdapat potensi merbahaya.

 

“Dengan melatih pengendali mesin menggunakan simulator fizikal yang tepat dan interaktif, pengilang boleh menggunakan dan meningkatkan kemahiran kakitangan mereka dengan lebih cepat dan lebih kos efektif berbanding sebelum ini,” katanya.

 

Hexagon menjelaskan bahawa simulator perkakasan baharu itu merapatkan jurang kemahiran pembuatan dengan menjadikannya lebih mudah untuk melatih kakitangan yang tidak berpengalaman memandangkan ia mereplikasi rupa dan rasa mesin sebenar dan skrin 43 inci yang memaparkan simulasi tepat pelbagai jenis mesin dan alat pemotong.

 

Pengarah Pengurusan Produk Hexagon, Alexander Freund berkata alat mesin tidak berfungsi kerana persediaan yang salah adalah mimpi ngeri bagi juruteknik baharu dan pengurusan bimbang sebuah jentera bernilai berjuta-juta boleh rosak secara kekal.

 

"Merosakkan alat mesin maya atau CMM adalah lebih selamat untuk kakitangan dan peralatan serta memberikan gambaran yang realistik kepada pelatih sambil memastikan sumber yang berharga kekal dan berfungsi,” katanya.

 

Hexagon merupakan syarikat berpangkalan di Stockholm, Sweeden dan mempunyai pejabat di seluruh dunia termasuk Malaysia.

 

Syarikat itu adalah peneraju global dalam rumusan realiti digital, menggabungkan penderia, perisian dan teknologi autonomi.  - DagangNews.com