KUALA LUMPUR 7 Jun - Sektor sarung tangan getah kini bersedia pulih daripada kemerosotan yang hampir tiga tahun lamanya dengan Hartalega Holdings Berhad menjadi pilihan Utama Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu terus menyukai Hartalega kerana pengurusan yang cekap, rekod prestasi yang terbukti dalam teknologi dan kualiti produk, serta kedudukan kewangan yang kukuh.
Malah, Maybank IB menjangkakan Hartalega dapat melaporkan pendapatan yang lebih kukuh dalam suku-suku akan datang didorong beberapa faktor termasuk harga purata jualan (ASP) yang stabil.
Katanya, kos bahan mentah juga dijangka turun bermula Mei 2024 dan bulan seterusnya selepas musim sejuk semula jadi getah.
"Dengan ASP yang stabil, kos bahan mentah yang lebih rendah (akan tercermin dalam keputusan 2QFY25) dan kecekapan kos yang lebih baik selepas penamatan Fasiliti Bestari Jaya (BJF) serta ketiadaan kos operasi tambahan dari pemindahan baris pengeluaran ke kilang NGC (dari BJF), Hartalega sepatutnya dapat melaporkan prestasi pendapatan yang lebih kukuh dalam suku-suku yang akan datang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, kadar penggunaan kilang Hartalega terus meningkat dengan pesanan jualan yang lebih tinggi dan kini beroperasi pada kadar kira-kira 85% (4QFY24: 73%).
ARTIKEL BERKAITAN: Hartalega keluar daripada kerugian, raih untung bersih RM15.12 juta pada 4QFY24
Katanya, prospek ASP juga semakin meningkat kerana Hartalega telah berjaya sepenuhnya menyalurkan kos bahan mentah yang lebih tinggi kepada pelanggannya.
"Susulan bekalan yang lebih terhad, ASP boleh meningkat lagi jika permintaan meningkat.
"Masa tunggu pesanan Hartalega kini telah meningkat kepada dua hingga tiga bulan (berbanding pembuat sarung tangan China 3-6 bulan).
"Kami mengekalkan ramalan pendapatan kami dan harga sasaran (TP) RM4.50 (pada 3.2x FY26E P/B). Hartalega adalah pilihan Beli utama kami untuk sektor ini," jelasnya.
Nota penyelidikan itu juga menyentuh mengenai baris baru pengeluaran Hartalega (+2 bilion helai sarung tangan) yang sudah bersedia untuk dimulakan.
Namun kata Maybank IB, Hartalega mungkin tidak dapat meningkatkan kapasitinya lebih jauh jika terdapat lonjakan perintaan secara tiba-tiba disebabkan oleh penamatan pengambilan pekerja asing.
"Sementara itu, kami faham bahawa pembuat sarung tangan China beroperasi pada kadar penggunaan kira-kira 90% dengan masa tunggu yang lebih lama, iaitu 3-6 bulan.
"Menurut pandangan kami, keupayaan terhad/pembesaran kapasiti ini akan membantu menyokong harga dalam jangka pendek," ujarnya. - DagangNews.com








