Graphjet disenarai di pasaran saham Amerika Syarikat mulai 15 Mac lalu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Graphjet disenarai di pasaran saham Amerika Syarikat mulai 15 Mac lalu

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Mac – Graphjet Technology Sdn Bhd (Graphjet) mengumumkan kejayaan penyenaraian di pasaran saham Nasdaq Amerika Syarikat bermula 15 Mac lalu yang menandakan peristiwa penting kepada syarikat itu dalam menerajui industri grafit hijau.

 

Penyenaraian di Nasdaq tiba tepat pada masanya susulan permintaan untuk grafit dan graphene meningkat terutamanya di Amerika Syarikat (AS) yang mana industri penyimpanan bateri dan kenderaan elektrik (EV) berkembang pesat. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Grafjet, Aiden Lee berkata, dengan majoriti pengeluaran grafit yang kini tertumpu di China, Graphjet bersedia untuk menjadi pembekal utama kepada pasaran AS dengan menawarkan alternatif yang lebih mampan dan kos efektif.

 

Katanya, kemudahan pengeluaran baharu Graphjet yang dijadualkan memulakan operasi pada suku kedua tahun ini dijangka meningkatkan lagi kapasiti syarikat untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

 

"Produk Graphjet bersedia untuk memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor termasuk penyimpanan tenaga dan bahan pelincir sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi. 

 

"Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan grafit dan graphene yang dihasilkan secara mampan untuk memacu inovasi merentasi pelbagai industri yang akhirnya mewujudkan masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Graphjet telah mengumpul AS$5.8 juta (RM27.38 juta) melalui penyenaraian di Nasdaq dan merancang untuk menggunakan dana ini untuk mempercepatkan strategi pertumbuhan dan mengembangkan kapasiti pembuatannya. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Graphjet Technology dapat kelulusan disenaraikan di Pasaran Saham Amerika Syarikat

 

Syarikat sedang meneroka peluang secara aktif untuk menggunakan teknologinya secara berskala di Amerika Utara bagi memenuhi permintaan global untuk grafit dan graphene.

 

Penyenaraian di Nasdaq bukan sahaja meningkatkan keterlihatan globalnya tetapi juga menyediakan platform yang kukuh untuk pertumbuhan dan inovasi masa depan.

 

aiden
Aiden Lee (dua dari kanan) bersama pengurusan tertinggi Graphjet selepas majlis membunyikan loceng di pasaran saham Nasdaq, New York 15 Mac lalu.

 

Graphjet, diiktiraf kerana teknologi yang dipatenkan yang menukar kulit isirong sawit kepada graphene dan grafit yang berharga, bukan sahaja merintis pengeluaran bahan yang mampan tetapi juga membentuk rantaian bekalan hijau untuk bahan anod bateri di peringkat global. 

 

Pendekatan inovatif ini bukan sahaja menangani keperluan bekalan kritikal untuk bahan strategik ini tetapi juga mengurangkan dengan ketara kesan alam sekitar yang berkaitan dengan pengeluaran grafit tradisional.

 

Proses Graphjet mengurangkan jejak karbon sehingga 83% dan mengurangkan kos sehingga 80%, meletakkan Syarikat sebagai pendahulu dalam peralihan global ke arah amalan pembuatan mampan. - DagangNews.com