Grab beli operasi foodpanda di Malaysia dan 6 pasaran lain di ASEAN? | DagangNews Skip to main content

Grab beli operasi foodpanda di Malaysia dan 6 pasaran lain di ASEAN?

KUALA LUMPUR 21 Sept - Syarikat induk foodpanda iaitu Delivery Hero mengesahkan perbincangan sedang berjalan bagi membincangkan penjualan beberapa perniagaan di Malaysia dan enam pasaran lain di rantau ASEAN.

 

Majalah perniagaan Wirtschaftswoche pertama kali melaporkan berita itu, menyatakan bahawa Grab akan membayar lebih sedikit daripada 1 bilion euro (RM4.98 bilion) untuk mendapatkan keseluruhan tujuh perniagaan itu.

 

Syarikat penghantaran makanan dari Jerman itu bagaimanapun menyatakan bahawa nilai perjanjian itu masih dalam rundingan. 

 

Mereka merancang untuk menjual aktiviti dibawah jenama foodpanda di Malaysia, Singapura, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina dan Thailand.

 

Ditubuhkan pada 2012 dan beribu pejabat di Singapura, foodpanda beroperasi di 12 pasaran di Asia Pasifik ia kemudia diambil alih oleh Delivery Hero pada 2016.

 

rider

 

Berita mengenai penjualan itu hadir ketika syarikat penghantaran makanan di seluruh dunia menghadapi tekanan bagi mencatatkan keuntungan.

 

Dalam satu makluman, foodpanda Singapura mencatatkan kerugian S$42.7 juta (RM146 juta) pada FY22 berakhir 31 Disember 2022 dengan pendapatan S$256.7 juta (RM880 juta).

 

Di Malaysia, Delivery Hero melaporkan kerugian bersih sebanyak 67.9 juta euro atau RM339 juta, berdasarkan laporan kewangan terkini 2022 yang difailkan pada April 2023.

 

panda

 

Persoalannya sekarang ialah bagaimana jualan ini mempengaruhi kerjasama foodpanda dengan jenama seperti AirAsia, yang menandatangani perkongsian pada Mei lalu dengan mereka menawarkan perkhidmatan merentas aplikasi – AirAsia Ride on foodpanda dan penghantaran makanan pada aplikasi AirAsia.

 

Grab merupakan pesaing utama kepada foodpanda dalam enam daripada tujuh pasaran sedia ada dan sekiranya pembelian ini berjaya, ini akan menjadi kali pertama Grab memasuki pasaran Laos.- DagangNews.com