GFM Services ambil alih baki 51% kepentingan dalam Highbase berharga RM18.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GFM Services ambil alih baki 51% kepentingan dalam Highbase berharga RM18.2 juta

[Foto GFM]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - GFM Services Berhad telah memeterai perjanjian jualan saham (SSA) untuk mengambil alih baki 51% kepentingan Highbase Strategic Sdn. Bhd. bernilai RM18.2 juta.

 

Highbase ialah penyedia perkhidmatan penyelenggaraan minyak dan gas (O&G), khusus kepada pengendali hiliran.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada penghujung 2023, menjadikan Highbase anak syarikat milik penuh GFM.

 

Pengarah Urusan Kumpulan GFM, Ruslan Nordin berkata, ketika kumpulan itu mula melabur dalam Highbase pada Disember 2019, ia melihat potensi sinergi syarikat tersebut walaupun Highbase merupakan aset bermasalah dengan cabaran operasi dan kewangan.

 

“Sejak menjalani penstrukturan semula yang berjaya mengukuhkan kewangannya, Highbase berubah menjadi syarikat yang menguntungkan pada FY22 (tahun kewangan 2022) dengan peningkatan dalam aliran tunai, kecekapan operasi dan seluruh prestasi kewangan.

 

“Kini, kami bersedia untuk meraih manfaat daripada kejayaan pemulihan Highbase,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

GFM berkata sepanjang tempoh tiga tahun, Highbase menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan sebanyak 95%, mencatat peningkatan pendapatan kepada RM28.1 juta pada FY22 daripada RM7.4 juta dalam FY20.

 

Selepas pengambilalihan tersebut selesai, syarikat penyedia perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu itu menjangkakan penyatuan kewangan dengan Highbase menyumbang secara positif kepada keuntungan dan pertumbuhan GFM bermula FY24 dan seterusnya.

 

Melalui usaha sama dengan penyedia rumusan bersepadu O&G yang berpangkalan di Singapura, Mun Siong Engineering Limited, Highbase kini mempunyai kontrak Integrated Turnaround Main Mechanical and Maintenance Mechanical Static (TA4MS) daripada Petronas melibatkan kerja pemulihan kilang di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Johor.

 

“Selain kontrak TA4MS, Highbase juga mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti dalam sektor hiliran O&G. Pemulihan kilang dijadualkan secara berkala dan sebahagian daripada pematuhan undang-undang,” tambah Ruslan.

 

Pertimbangan harga RM18.2 juta itu dipenuhi sepenuhnya oleh GFM dengan mengambil alih hutang penjual Highbase, yang akan diselesaikan secara tunai, dibiayai dana dalaman GFM.

 

GFM mula melabur dalam Highbase pada Disember 2019 melalui langganan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) sebanyak RM20 juta.

 

Pada 30 Jun 2023, GFM selesai mengambil alih 49% kepentingan dalam Highbase melalui langganan 2.9 juta saham baharu Highbase dengan pertimbangan tunai RM1.00.  - DagangNews.com