Gamuda catat untung bersih RM208.8 juta pada 2QFY24 didorong projek luar negara | DagangNews Skip to main content

Gamuda catat untung bersih RM208.8 juta pada 2QFY24 didorong projek luar negara

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Gamuda Berhad mencatat keuntungan bersih RM208.8 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), 7% lebih tinggi daripada RM194.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat pembinaan itu pada suku berakhir 31 Januari 2024 itu turut melonjak lebih dua kali ganda kepada RM3.33 bilion berbanding RM1.44 bilion sebelum ini.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu menokok kepada 7.65 sen pada suku dalam tinjauan daripada 7.45 sen sebelumnya.

 

Prestasi pada 2QFY24 ini didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada projek-projek kumpulan di luar negara yang telah mengisi jurang berikutan kemerosotan dalam hasil dan pendapatan domestik apabila projek transit aliran massa 2 (MRT2) siap tahun lepas. 

 

“Pendapatan suku tahunan daripada projek luar negara menyumbang 77% daripada hasil keseluruhan (sebelum ini 42%) manakala keuntungan bersihnya menyumbang 58% daripada keuntungan bersih keseluruhan (sebelum ini 50%),” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih Gamuda dalam tempoh separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) jatuh 70% kepada RM404 juta daripada RM1.36 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatannya pula meningkat dua kali ganda kepada RM6.14 bilion dalam tempoh berkenaan berbanding RM2.75 bilion tahun sebelumnya.

 

Gamuda menjangkakan prestasi tahun ini akan didorong oleh aktiviti pembinaan di luar negara kerana projek di Australia dan Taiwan terus meningkat.

 

Sementara itu, ia memperoleh sumbangan setahun penuh daripada perniagaan projek pengangkutan Australia yang baru diperoleh bagi Projek Pengangkutan Downer dan jualan hartanah, termasuk sumbangan lebih tinggi daripada projek pemulihan pantas (QTP) bahagian hartanah yang baharu dilancarkan.

 

“Melangkah ke hadapan, daya tahan kumpulan disokong oleh buku pesanan pembinaan yang besar berjumlah RM24 bilion dan jualan hartanah tidak dibilkan sebanyak RM6.7 bilion. 

 

“Selain itu, kumpulan tersebut mempunyai kunci kira-kira sihat dengan penggearan bersih yang selesa pada 29%, jauh di bawah had penggearan syarikat sebanyak 70%,” katanya. - DagangNews.com