KUALA LUMPUR 15 Jun - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) berhasrat melabur sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk membangunkan fasa pertama ladang tenusu bersepadunya di Gemas, Negeri Sembilan.
Kumpulan itu berkata ladang itu dijangka meletakkannya di landasan untuk menjadi antara pengeluar susu terbesar Malaysia apabila Fasa 1 mencapai pengeluaran penuh 100 juta liter susu segar.
Berkeluasan lebih 2,726 hektar, ladang tersebut akan menempatkan 20,000 lembu perah dan menghasilkan 200 juta liter susu segar setiap tahun untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, katanya dalam satu kenyataan mengumumkan majlis pecah tanah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata operasi ladang tenusu bersepadu akan membantu mengurangkan kos seliter susu segar justeru memberi manfaat kepada pengguna Malaysia.
“Kami turut menyasarkan untuk mengeksport susu segar, yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pengeksport bersih susu segar.
“F&N juga merancang untuk menanam tanaman makanan ternakan dalam kemudahan itu, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran tanaman makanan ternakan bagi mengurangkan pergantungan kepada makanan ternakan import,” tambah beliau.
Lim berkata pengurangan keperluan mengimport susu dapat mengurangkan kesan karbon keseluruhan kumpulan itu berikutan keperluan untuk mengangkut bahan dari luar negara dikurangkan.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Haji Aminuddin Harun berkata ladang tenusu itu berpotensi menyumbang kepada ekonomi tempatan, industri tenusu Malaysia dan pewujudan tenaga kerja mahir.
“Projek seperti ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan prospek perniagaan tani kepada masyarakat tempatan tetapi juga memperkasakan mereka dengan teknologi baharu dalam penternakan tenusu.
“Selain itu, penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau pusat kecemerlangan (COE) bagi tenusu dan pertanian F&N akan menyumbang kepada pembangunan profesional mahir dalam bidang seperti doktor haiwan, pakar pemakanan haiwan, ahli agronomi, teknologi makanan, dan R&D makanan,” katanya yang turut hadir di majlis tersebut. -DagangNews.com








