Fajarbaru Builder raih kontrak RM120.82 juta bagi kerja pembinaan di Johore Golf & Country Club | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fajarbaru Builder raih kontrak RM120.82 juta bagi kerja pembinaan di Johore Golf & Country Club

Johore Golf & Country Club (JGCC) akan diberikan penampilan yang lebih moden dan canggih yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Mac – Fajarbaru Builder Group Bhd (Fajarbaru) meraih kontrak daripada Tanjung Nakhoda (M) Sdn Bhd (Tanjung Nakhoda) bagi menyiapkan kerja-kerja pembinaan Johor Golf & Country Club (JGCC).

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuh Fajarbaru, Fajarbaru Builder Sdn Bhd (FBSB) yang nilainya berjumlah RM120.82 juta.

 

Fajarbaru dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia berkata, surat anugerah (LoA) projek itu diterima anak syarikatnya itu pada 4 Mac 2024.

 

"Projek ini melibatkan pembinaan dan penyiapan rumah kelab 2 tingkat berserta tempat letak kereta, kompleks driving range 4 tingkat yang menampilkan dewan serbaguna dan tempat letak kereta, rumah pengawal dan sebuah sub-stesen elektrik.

 

"Kontrak itu akan bermula pada 11 Mac 2024, dan dijadualkan siap dalam tempoh kira-kira 90 minggu," katanya dan memaklumkan kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan untuk tahun kewangan 2024 dan selanjutnya.

 

 

Sementara itu, dalam kenyataan media, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, kontrak ini adalah bukti kepakaran dan kredibiliti Kumpulan dalam industri pembinaan.

 

chan
CHAN KONG CHOY

 

"Kami berbangga terlibat dalam projek salah satu kelab golf yang paling ikonik di Malaysia. Fajarbaru akan bekerjasama rapat dengan Tanjung Nakhoda dan pemain lain yang terlibat dalam projek ini untuk memberikan JGCC penampilan yang lebih moden dan canggih yang memenuhi piawaian antarabangsa.

 

"Kami berterima kasih kepada Tanjung Nakhoda atas kepercayaan mereka terhadap keupayaan kami, dan mengharapkan projek yang berjaya," katanya.

 

Pada suku berakhir 31 Disember 2023, (2QFY24), Fajarbaru melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM20.88 juta, lonjakan yang luar biasa sebanyak 606% berbanding keuntungan bersih sebanyak RM2.96 juta yang dilaporkan pada suku pertama kewangan FY24. - DagangNews.com